Pengikut

Isnin, 20 Jun 2011

Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN meriah


Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam berlangsung dalam keadaan penuh meriah dan dinamik, sekaligus memenuhi aspirasi dan citarasa politik baru.

Konvensyen khas berkenaan yang julung-julung kali diadakan parti politik di negara ini, dihadiri lebih 4,000 perwakilan KEADILAN dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ia diadakan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka bakal diadakan pada bila-bila masa.

Konvensyen ini juga, yang pada kebiasaannya dianjur parti politik di negara-negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat, berlangsung dalam keadaan penuh warna warni- dipersembahkan dengan gaya yang lebih moden, santai dan dinamik.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi berkata, ia mendapat sambutan di luar dugaan apabila jumlah peserta melebihi anggaran awal iaitu sekitar 2,800 orang. Sebanyak 3,500 T Shirt percuma yang diberikan kepada peserta, habis dalam masa beberapa jam.

Berbeza dengan konvensyen biasa dianjurkan sebelum ini konvensyen pilihan raya ini juga diselitkan dengan tayangan video yang memfokus kepada agenda dan persediaan jentera pilihan raya KEADILAN.

Menariknya, Pentas berbentuk T direka bagi memudahkan pemidato berucap dan berinteraksi bersama hadirin di atas pentas. Malah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan KEADILAN tidak menggunakan rostrum ketika berucap.

Konsep yang dibawakan dalam konvensyen khas ini ternyata lari dari tema kebiasaan.

Konvensyen tersebut yang bermula jam 2.30 petang, dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Seterusnya, Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

Ia mengkhusus kepada agenda dan tumpuan KEADILAN dalam menghadapi pilihan raya umum ke 13, usaha menarik sokongan pengundi dan membangkitkan semula momentum pada Mac 2008.

Konvensyen berkenaan kemudiaan diteruskan dengan amanat Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyeru seluruh jentera pilihan raya KEADILAN supaya diperkemaskan.

Kemuncak konvensyen adalah ucaptama yang disampaikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain mengulangi politik dan taktik kotor dijalankan Umno-BN untuk terus kekal berkuasa.

Selain ucapan pimpinan utama, konvensyen khas ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian yang disampaikan pimpinan KEADILAN bagi memeriahkan suasana.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul menggamit tumpuan hadirian apabila beliau tampil dengan nyanyian yang diubahsuai secara miming. Ia mendapat sambutan dan tepukan gemuruh dari para perwakilan yang memenuhi dewan berkenaan.

Selain pimpinan utama, KEADILAN menampilkan wakil-wakil dari kaum orang asli semenanjung dan Sabah dan Sarawak yang mengulas mengenai rampasan tanah adat di negeri berkenaan.

Konvensyen berkenaan berakhir pada jam 5 petang dengan pelancaran video dan logo.

-KeadilanDaily / D'Perbatasan (foto)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan