Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said hairan apabila dipanggil memberi keterangan oleh polis hanya kerana membaca puisi yang menyeru kepada demokrasi yang lebih baik.
Sasterawan yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad itu berkata demikian selesai memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi berhubung Perhimpunan Bersih, 9 Julai.
Beliau disoal siasat polis di bawah Akta Hasutan dan Akta Polis kerana hadir dan membacakan puisi pada Pelancaran Bersih 2.0, 19 Jun lalu.
Ketika ditemui pemberita, Pak Samad berkata, beliau hadir pada majlis itu bukan dengan niat menghasut, sebaliknya dengan tujuan yang murni untuk demokrasi di negara ini
“Bagi saya sendiri, saya pun merasa aneh juga mengapa hal ini harus berlaku. Dalam puisi itu adalah saranan-saranan yang saya fikir amat suci dan sepatutnya dihargai dan bukan dicurigai.
“Kita sebenarnya perlu mempersuci demokrasi dan bukan memperkeruhkannya atau mencemarinya,” tegas Pak Samad yang menyatakan puisi kini menjadi ‘senjata’ yang menggerunkan pemerintah।
Sambil menyatakan demikian, beliau menegaskan akan tetap menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini, meskipun ditekan pihak berkuasa.“Saya akan hadir Bersih nanti. Gerakan ini membantu menyuburkan suasana yang lebih bagus. Sepatutnya disokong, bukan dibantah,” katanya.
Pak Samad turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum supaya melihat perhimpunan Bersih bukan sesuatu yang memudaratkan.
“Saya tak mahu cakap soal bangsa, kita semua orang Malaysia.
“Tentunya dari satu pihak akan menghebohkan bahawa ini akan membahayakan. Jikalau itu alasannya sampai bila pun kita tak akan buat apa-apa.
“Orang itu pun harus memahami cita-cita kita juga। Orang mesti ada rasa bersedia untuk berkorban kepada sesuatu yang akan membela nasib mereka,” kata Pak Samad.
-KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan