Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menganggap tuduhan dan provokasi terhadap penyokong dan mereka yang memakai baju Bersih sebagai tidak masuk akal dan menunjukkan betapa Kerajaan takut dengan gerakan rakyat ini.
"Kami nampak intimidasi Polis terhadap penyokong Bersih sebagai tak masuk akal. Ingat, apa yang berlaku kepada penyokong berseih, berlaku kepada rakyat Malaysia. Sesiapa pun boleh kena kerana ini. Kenapa tak boleh berjumpa kami dan berbincang macam mana nak buat ketiga-tiga himpunan ini berlangsung dengan baik.
Datuk Ambiga Sreevenasan disiasat selama kira-kira dua jam, bermula jam 2 petang semalam, berhubung perhimpunan yang akan dijalankan pada 9 Julai depan.
Siasatan ke atas Ambiga juga dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan juga Seksyen 27(5) Akta Polis.
Sejak tangkapan pertama dibuat Rabu lepas, polis sehingga ini telah menahan 81 orang dan jumlahnya dijangka meningkat ketika BERSIH memperhebatkan lagi kempennya dalam tempoh dua minggu sebelum perhimpunannya.
Bagaimanapun Ambiga tidak terkejut dengan hal ini.
"Saya tak terkejut dengan semua laporan ini, kerana perkara sama terus dibuat (Kerajaan) setiap kali dapat perkara yang mereka tak suka.
Sementara itu, Ambiga turut menyatakan betapa tuduhan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyebarkan ideologi komunis dan cuba mengaitkannya dengan Bersih sebagai tidak masuk akal.
Menurut Ambiga Bersih berjalan sebagai gerakat masyarakat yang mahukan sistem demokrasi yang adil dan bukannya bersandarkan ideologi politik semata.
"Ia tak masuk akal. Apa yang berlaku kepada PSM amat mengelirukan . Saya tak tahu apa yang asas (tuduhan) itu. Tuduhan dan Akta yang digunakan terlalu usang. Saya tak tahu dah berapa lama akta itu tidak digunakan
"Sesiapapun boleh menyokong bersih. Pada saya semua rakyat Malaysia boleh sokong bersih tak kira apa ideologi mereka," kata beliau.
Beliau turut menempelak usaha mengaitkan Bersih dengan tuduhan tidak berasas kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak.
"Mengapa Kerajaan seolah terperangkap dalam masa silam. Lebih baik kerjasama dengan kami Daripada beri ugutan, mengapa tak bekerjasama.
"Siapa yang cakap pasal komunis lagi sekarang? Minta maaf saya anggap semua tuduhan ini sampah," kata beliau.
Selain Ambiga, turut disoal-siasat semalam adalah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.
Peguam pengiring A. Samad iaitu Fadiah Nadwa Fikri dan N Surendran akan memberi keterangan hari ini di tempat yang sama bersama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar pada jam 2.30 di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Notis serahan untuk mengadiri siasatan mengikut Seksyen 111, Kanun Acara Jenayah itu diserahkan kepada kedua-dua peguam berkenaan ketika siasatan ke atas A Samad berlangsung.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar menyatakan Pemuda UMNO turut menerima notis 112 tersebut namun masih tidak bertemu dengan polis.
-tvs
Tiada ulasan:
Catat Ulasan