Pengedaran video seks yang didakwa membabitkan pemimpin tertinggi pembangkang secara berleluasa seperti dilaporkan berkemungkinan dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan. Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata tuduhan pihak tertentu yang mengatakan UMNO melakukan perkara itu sebagai suatu yang tidak berasas.
“Apa sahaja yang berlaku membabitkan Anwar Ibrahim, semua pihak akan menuding jari kepada UMNO, mereka kata semua itu adalah perancangan UMNO, konspirasi UMNO untuk jatuhkan Anwar.
“Sehingga kini, semua pihak masih tidak tahu siapa yang lakukannya termasuk pihak polis, mungkin juga mereka yang melakukan perkara ini mempunyai kepentingan tertentu untuk memburuk-burukkan Anwar.
“UMNO tidak akan melakukan kerja seperti ini, banyak perkara yang lebih berfaedah perlu dilakukan UMNO, bukannya perkara yang tidak berfaedah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung pengedaran video seks itu secara berleluasa dan UMNO dituduh menjadi dalang kepada pengedaran video berkenaan oleh pembangkang.
Musa (gambar) berkata, kemungkinan juga mereka yang mengedar video berkenaan mempunyai hubung kait dengan pemilihan pucuk pimpinan Pas bulan depan yang dikatakan pertembungan antara kumpulan pro Anwar (Endorgan) dengan pro ulama.
-KL-Today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan