Bebanan yang ditanggung oleh rakyat akibat daripada kenaikan harga barangan mungkin dapat dikurangkan dengan pelarasan gaji di semua sektor di negara ini.
Ini kerana, dari barangan import sehinggalah kepada barangan keperluan asas hatta seperti harga minuman meningkat dengan ketara tanpa dapat dibendung lagi.
Tinjauan Tv Selangor mendapati, masyarakat yang sudah lama menahan sabar ekoran kenaikan harga melampau ini, mula bersuara dan mahu beban mereka turut dirasai oleh pihak yang bertanggungjawab.
Seorang pegawai di Majlis Bandaraya Shah Alam, Said Idham Idris yang ditemui Tv Selangor berkata, pendapatan orang ramai kini tidak sepadan dengan kenaikan harga barangan.
Perbelanjaan melebihi gaji sudah menjadi lumrah untuk masyarakat terutama yang tinggal di bandar besar sehingga mendatangkan tekanan yang melampau kepada rakyat.
“Harga barang naik atau turun tak jadi masalah sebenarnya tapi yang penting gaji pendapatan orang kita rakyat. Kalau harga barang atau nilai wang kita
naik tapi gaji dengan takuK lama kita tak dapat menampung kehidupan semasa.
"Kalau kita tengok kalau kakitangan kerajaan dengan gaji 10 tahun lepas dengan sekarang masih di tahap yang sama macam mana kita nak berbelanja. Walaupun ringgit kita tinggi, bila harga barang naik dengan kadar gaji yang terhad, bagaimana kita nak berbelanja?,"soalnya.
Pendapat Said Idham itu dipersetujui oleh Siti Zaharah Abdul Khalid. Menurutnya kenaikan harga barangan kini sudah dianggap keterlaluan dan membebankan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.
“Walaupun matawang Malaysia telah meningkat tetapi harga pasaran dunia sama juga jadi kadar inflasi Malaysia tetap tinggi berbanding negara lain. Tetapi saya rasa tiada perubahan kadar duit Malaysia telah meningkat. Kerana kadar inflasi Malaysia meningkat juga,"katanya.
"Jadi ini menyebabkan kebanyakan rakyat Malasia merasa kenaikan harga barang di pasaran. Bagi mereka yang perpendapatan pertengahan dan ke bawah, mereka yang akan merasa paling teruk sekali dengan kenaikan harga barang sekarang ini, kerana gaji mereka tak naik tetapi harga barangan tetap meningkat,"tambahnya lagi.
Sementara itu menurut seorang pesara, Hashim Sairi, kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk mengawal harga barangan yang meningkat naik demi kelangsungan hidup rakyat.
“Kalau boleh harga barang janganlah naik kerana pendapatan rakyat tak meningkat . Jadi harga barangan tak sepatutnya naik. Kalau pendapatan rakyat ditingkatkan ia wajarlah harga barangan sedikit naik. Ini menambahkan sengsara rakyat, bukan nak menolong rakyat,"tegas beliau.
Sementara itu seorang pekerja swasta Ravindran Sammogam pula berpendapat, beban yang ditanggung ekoran kenaikan harga barang lebih membabitkan pekerja swasta. Ini kerana kakitangan awam mempunyai beberapa elaun lain untuk menampung kehidupan.
“Ya swasta kena naik lagilah, swasta banyak rendah gaji, kalau kerajaan naik gaji, swasta juga perlu naikkan. Tapi kerajaan ada juga dapat elaun-elaun semua, swasta hanya setahun sekali saja dapat,"katanya.
Nyata kenaikan harga barangan yang tidak setimpal dengan pendapatan yang diperolehi merupakan masalah utama yang dihadapi rakyat.
Kenaikan nilai ringgit tanpa mengambil langkah membendung kenaikan harga barangan adalah persoalan dan masalah yang harus ditangani segera oleh kerajaan pusat.
SHAH ALAM 3 MEI : Kedudukan ringgit yang semakin kukuh dan pelaburan asing yang meningkat seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memberi manfaat kepada masyarakat umum jika Bank Negara tidak memberikan tanda aras kesan kenaikan ringgit kepada kehidupan seharian rakyat.
Akibat dari itu, rakyat tidak merasakan sebarang penurunan pada harga barangan sebaliknya merasakan beban tanggungan semakin meningkat.
Demikian pandangan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Dr Jacob George.
“Bila kita nak terjemahkan kenaikan harga atau kekuatan harga kita, Bank Negara dan agensi-agensi kerajaan perlulah mengadakan satu penanda aras di mana mereka boleh menukarkan kenaikan itu kepada belanja kehidupan sehari-harian kita. Baru ia membawa manfaat kepada pengguna dan tidak bebankan pengguna, lagi"katanya kepada Tv Selangor.
Menurut Dr Jacob, Malaysia merupakan sebuah negara 'unik' yang sering menaikkan harga barangan tertentu apabila pasaran dunia menaikkanya, namun apabila harga diturunkan, kita tidak berhasrat untuk menurunkannya.
Oleh itu katanya, peningkatan nilai ringgit di negara ini tidak memberi kesan kepada rakyat kerana ia tidak meliputi harga barangan di negara ini.
“Kita hendak kerajaan pusat memberitahu apa guna kenaikan ringgit jika tidak membawa apa-apa faedah kepada pengguna.Jadi ini satu cerita yang susah kita nak jawab sekarang. Ini satu soalan yang pakar-pakar boleh jawab,"katanya lagi.
Dr Jacob juga turut mendesak kerajaan mengambil langkah-langkah perlu bagi membendung harga barangan yang terus membebankan pengguna.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Najib menjelaskan bagaimana kos sara hidup rakyat semakin melonjak sedangkan Perdana Menteri dengan bangga mengatakan bahawa inflasi negara stabil pada tahap 2.3 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.
Malah Najib juga mendakwa ringgit juga semakin kukuh ekoran asas ekonomi yang semakin baik.
Namun kata Guan Eng timbul persoalan apabila rakyat tidak menerima sebarang penurun dalam harga barangan import dan perkhidmatan.
-tvs
Tiada ulasan:
Catat Ulasan