Simulasi Pilihan Raya Olok-olok Pertengahan Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 27 Mei: Majlis Tertinggi Umno Jumaat memutuskan simulasi pilihan raya olok-olok bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang akan dijalankan pada pertengahan tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua pemimpin parti akan turun padang untuk meninjau perjalanan sepanjang pilihan raya itu berlangsung bagi meningkatkan persediaan secara berterusan menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
"Simulasi (pilihan raya olok-olok) kita akan buat mengikut jadual pada pertengahan tahun ini. Itu (dibuat) berterusan dan akan ditingkatkan dalam usaha kita ke arah PRU-13," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Jumaat.
Najib bagaimanapun tidak menyatakan tarikh bagi melaksanakan simulasi berkenaan.
Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden Umno turut menekankan peri pentingnya bagi semua pemimpin parti mengutamakan kepentingan rakyat daripada semata-mata mengejar jawatan dalam parti.
"Struktur parti yang telah dibina buat sekian lama... sasaran utamanya sekarang ialah untuk meyakinkan rakyat sebab ukuran mutlak dalam sistem demokrasi berparlimen adalah memenangi PRU dan membentuk kerajaan.
"Bilangan ahli dalam cawangan ataupun bahagian tidak membawa apa-apa erti melainkan jika berjaya mewujudkan kerajaan dengan memenangi pilihan raya," katanya.
Ditanya mengapa pendekatan turun padang (walkabout) seperti yang dilakukan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam usaha mendekatkan diri dengan rakyat tidak diamalkan pemimpin-pemimpin lain, Najib berkata ia dijalankan dalam bentuk berbeza.
"Cuma kerana acara turun padang walkabout itu dilakukan oleh saya dan Timbalan Perdana Menteri, ia menjadi acara formal tetapi sebenarnya semua peringkat pemimpin negeri turun padang," katanya.
Mengenai persidangan perwakilan Umno bahagian, Najib berkata setakat hari ini, sebanyak 90 bahagian Umno, 134 Pergerakan Wanita, 135 Pergerakan Pemuda dan 152 Pergerakan Puteri telahpun mengadakan mesyuarat.
Sementara itu, Najib berkata mesyuarat MT hari ini turut memutuskan bahawa tindakan penggantungan terhadap tiga anggota Umno iaitu Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil Saadon Basiron dan Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil Zarina Ismail, yang digantung tiga tahun lepas, ditarik balik.
"Mesyuarat telah bersetuju bahawa tindakan penggantungan ketiga-tiga anggota Umno itu diketepikan," katanya.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat juga bersetuju untuk melantik bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno MT bagi penggal 2011-2013.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan