Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Umno BN berada dalam keadaan terdesak apabila kali kedua mengeluarkan seruan agar mempertahankan Putrajaya.
Kali pertama Najib membuat seruan tersebut dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno Oktober lalu.
"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" kata Najib yang juga presiden Umno.
Nasrudin berkata, seruan kepada belia itu menunjukkan Pakatan Rakyat mempunyai pelaung yang cerah untuk menawan Putrajaya.
"Kenyataan itu jelas menunjukkan mereka (Umno BN) benar-benar tersepit dan terdesak dan apa yang paling peenting, kemaraan Pakatan Rakyat jelas memberi kesan kepada mereka.
"Apabila Perdana Menteri sendiri mengeluarkan amanah sedemikian kepada belia yang hadir, beliau sudah merasakan bahawa kedudukan Putrajaya terancam dan membuktikan peluang Pakatan Rakyat sampai ke Putrajaya semakin cerah," kata belia ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Mengulas mengenai himpunan itu pula, Nasrudin berkata, anak muda sekarang sudah celik maklumat dan tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis kerajaan sedangkan isu sebenar seperti peningkatan kadar pengangguran di kalangan belia cuba ditutup.
"Belia kini telah matang dan mempunyai infomasi yang lengkap. Sebagai "generasi Y" mereka rata-ratanya mesra cyber menyebabkan mereka mendapat maklumat kedua dan ketiga sebelum membuat keputusan dan penilaian
Oleh itu Umno BN tidak lagi mudah untuk memperdaya dan mempergula-gulakan mereka dengan pelbagai bentuk janji dan tawaran," katanya.
Pada perhimpunan Sabtu lalu, Najib mengumumkan beberapa habuan untuk memikat golongan belia, antaranya memperkenalkan khidmat sukarelawan, portal belia, ikon remaja dan mewujudkan 'youth park' di sekitar Putrajaya.
Beliau juga berkata kerajaan akan mewujudkan Parlimen Belia bagi mengetahui pandangan, cadangan dan citarasa golongan belia di negara ini.
Sementara itu, Nasrudin mahu Umno BN sedar bahawa bukan semua belia ikhlas menyokong mereka.
Buktinya kata Nasrudin, kehadiran belia ke perhimpunan tersebut jauh tersasar daripada jumlah yang sebenar, sejuta orang.
"Himpunan sejuta belia itu hanyalah dihadiri sekitar lapan ke sepuluh ribu ertinya jauh daripada sasaran sebenar.
"Ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kerajaan Umno BN supaya baiki dasar dan juga polisi terhadap belia negara pada hari ini
Sebaliknya beliau berkata, kerajaan harus mengutamakan isu-isu sebenar yang membelenggu para belia.
"Sebagai contoh dari sudut kos hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan, pentingnya belia ini dapat dibimbing untuk searas dengan pihak-pihak lain yang mengaut keuntungan dan kepentingan dalam negara kita.
"Sebagai contoh sektor kepimpinan negara, belia harus ditonjolkan dan diberikan peluang untuk menunjuk bakat dan berkhidmat untuk negara," katanya.
-HarakahDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan