Pengikut

Selasa, 31 Mei 2011

BN Pulau Pinang dedah maklumat sulit perjanjian air Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan?

Kerajaan Negeri Pulau Pinang kesal dengan BN Pulau Pinang yang telah memilih untuk mencari publisiti politik murahan dengan mendedahkan butiran perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Perjanjian tersebut adalah rahsia dan sulit di mana hanya Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan mempunyai hak untuk mendedahkan butiran perjanjian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan nampaknya lupa bahawa beliau bukan lagi memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Adakah Teng telah lupa bahawa beliau telah ditolak oleh pengundi di Pulau TIkus sekaligus telah kalah dalam pilihan raya umum lalu? Beliau juga tidak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Persekutuan. Apa hak dan atas nama siapa beliau wakili untuk membuat pengumuman yang sepatutnya hanya boleh diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sahaja?

Rundingan perjanjian air tersebut telah diputuskan dua bulan lepas dan sedang menunggu kelulusan daripada Kabinet. Upacara menandatangani perjanjian akan diadakan di Putrajaya pada Khamis ini bersamaan dengan 2 Jun 2011 antara Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dan saya sendiri. Jika ada sesiapa yang membuat pendedahan, seharusnya ia datang dari pihak Peter Chin mahupun Kerajaan Negeri, bukannya Teng yang tidak mempunyai sebarang hak untuk melakukannya. Perkara ini dilihat sebagai perilaku tidak bertanggungjawab Teng kerana beliau kini bukan lagi ahli EXCO kerajaan negeri mahupun pegawai Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada awalnya enggan untuk meluluskan penghijrahan aset air kerajaan negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, sebagai Pengerusi Perbadanan Bekalan Airi (PBA), saya tidak mempunyai pilihan lain melainkan mencari penyelesaian memandangkan Kerajaan Negeri BN sebelum ini telah bersetuju untuk menyerahkan aset air Negara kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Atas alasan tersebut, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang berkeras supaya beberapa syarat penghijrahan aset air sedia ada yang dicadangkan diperbaiki. Seperti mana yang dimaklumkan oleh Teng, pembinaan Empangan Mengkuang bernilai RM1.2 bilion dengan peningkatan kapasiti simpanan air sebanyak 3.8 kali ganda berbanding sekarang akan dilaksanakan. Di bawah pemerintahan Kerajaan BN sebelum ini, RM1.2 bilion hanya digunakan sebagai pinjaman tanpa faedah.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang berkeras untuk menukarkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1.2 bilion ini kepada geran sebagai syarat untuk meningkatkan penghijrahan aset air. Sebaik pembesaran empangan ini selesai, empangan tersebut akan menjadi milik tetap Kerajaan Negeri. Perkara ini akhirnya telah mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

Teng sekali lagi tidak jujur dengan mengatakan bahawa Kerajaan Negeri perlu menjawab butiran lanjut mengenai projek pembesaran yang bernilai RM1.2 bilion ini. Disebabkan RM1.2 bilion ini adalah peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan mempunyai hak untuk memutuskan kepada siapa peruntukan tersebut diberikan sama ada melalui sistem tender terbuka mahupun tidak.

Selain terus memuji baik kepada Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri atas persetujuan untuk menukarkan RM1.2 bilion pinjaman tanpa faedah kepada geran yang nyata memberi manfaat dan kebaikan kepada penduduk Pulau Pinang berbanding syarat yang ditawarkan sebelum ini, Dr Teng telah memilih untuk mempolitikkan isu ini dengan mendakwa bahawa BN tidak pernah meminggirkan Pulau Pinang walaupun kehilangan negeri? Mengapa Teng tidak memberi penghargaan sedangkan penghargaan itu sepatutnya diberikan atas kejayaan kerajaan negeri PR Pulau Pinang untuk menukarkan pinjaman RM1.2 bilion kepada geran?

Saya akan mendedahkan peningkatan lain yang telah berjaya dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas ini. Saya kesal dengan Teng dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang sekali lagi bertindak tidak bertanggungjawab dan sangat tidak profesional dengan melanggar privasi dan perjanjian sulit berkaitan perjanian tersebut semata- mata untuk mencari publisiti murahan. Saya akan mengarahkan pejabat kerajaan negeri untuk mengemukakan pertanyaan kepada Kerajaan Persekutuan sama ada butiran perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ini telah diberikan kepada ahli politik BN yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi.

-LGE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan