Pengikut

Khamis, 5 Mei 2011

Apa salah Anwar hingga difitnah sebegitu?

PITA porno penuh skandal yang digunakan dalam keadaan terdesak untuk membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan terlibat dalam seks dengan seorang pelacur dalam usaha untuk mengubah arus gelombang agar berpihak kepada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Sarawak, masih belum lenyap dan hilang walaupun pilihan raya itu sudah berakhir.

Ia merupakan bahan berita yang diberikan publisiti secara meluas. Menurut beberapa laporan, pita itu turut diedarkan di rumah panjang di Sarawak untuk memperkecil dan merendahkan maruah Anwar serta menggambarkan pembangkang dalam keadaan yang buruk bagi faedah politik untuk BN.

Polis mengumumkan bahawa pita rakaman itu adalah tulen. Rakyat diberi kepercayaan bahawa episod menjijikkan ini akan terungkai dan orang yang terlibat dalam pita tersebut akan didedahkan.

Berbagai-bagai kenyataan dalam domain awam telah menimbulkan persepsi bahawa Anwarlah orang dalam pita porno tersebut. Polis memberikan tanggapan bahawa mereka hanya menunggu masa sebelum Anwar didedahkan sebagai pemilik jam tangan Omega yang dicuri oleh pelacur itu.

Jam tangan Omega itu kelihatan seperti hubung kait paling penting yang hilang untuk membuktikan identiti Anwar. Tetapi amat mengecewakan bagi mereka kerana tiada rekod pembeli di Taiwan, di mana jam tangan tersebut dibeli. Hubung kait tersebut hilang dan mereka masih belum mendapat sebarang kebenaran.

Kini mereka mengatakan ‘mereka tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan kepada umum jika perlu mengenai ‘pelaku’ dalam video seks yang dipercayai menyerupai ‘Ketua Pembangkang – Anwar Ibrahim’.

Dalam erti kata lain, apa yang mereka perkatakan adalah sama seperti kenyataan bahawa mereka telah mengenal pasti ‘pelaku tersebut’, tetapi mereka tidak cenderung untuk mendedahkan ‘pelaku itu’ kecuali ianya perlu.

Masyarakat Malaysia kini benar-benar bingung. Apa yang dimaksudkan dengan kecuali ianya perlu? Lalu mengapa mereka berusaha sedaya upaya untuk mengetahui siapakah pemilik jam tangan Omega tersebut?

Anda telah bersusah payah mengesan jam tangan tersebut sehingga ke Taiwan. Apa tujuannya? Bukankah ianya untuk mengaitkan ‘pelaku tersebut’ dengan jam tangan itu agar anda dapat mengenal pasti ‘pelaku tersebut’ dan mendedahkannya?

Jikalau tidak perlu untuk mengenal pasti ‘pelaku tersebut’, jadi mengapa Anwar diganggu? Beliau telah dipanggil untuk memberikan kenyataan buat kedua kalinya pada 28 April lalu. Melainkan jika anda mempunyai bukti yang tidak boleh disangkal bahawa watak dalam video tersebut sememangnya Anwar, adalah tidak perlu memintanya melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Adakah kerana mereka mahu membiarkan episod memalukan ini berterusan?

Seolah-olah tidak ada isu berfaedah lain di negara ini untuk media membuat liputan dan untuk dibincangkan oleh para pemimpin politik kita. Apakah kita sudah tidak bermaruah lagi sehinggakan skandal seks harus menjadi perhatian ramai dan mengambil begitu banyak masa dan perhatian negara kita?

Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menjadi skeptikal mengenai segala hal yang menjijikkan ini.

Adalah jelas bahawa terdapat usaha bersama untuk menghapuskan Anwar bagi kepentingan Barisan Nasional. Beliau merupakan satu-satunya orang yang menghalang perjalanan mereka serta mampu menghalang tampuk pemerintahan BN dari berterusan di Putrajaya. Berdasarkan fakta ini, bukankah ianya logik untuk mendedahkan Anwar sekarang?

Tetapi mengapa mereka tidak melakukannya?

Adakah kerana ‘pelaku’ dalam video itu adalah seorang penipu? Jika ianya Anwar, mereka sudah tentu akan menyebarkan maklumat ini semasa Pilihan Raya Sarawak untuk memperkecil dan menghancurkan pembangkang hanya dengan satu pukulan. Media cetak dan elektronik serta blog dan laman sesawang sudah tentu akan dipenuhi dengan berita ini siang dan malam. Tetapi ia tidak berlaku!

Sebaliknya mereka melengah-lengahkan hal ini untuk jangka masa yang terlalu lama walaupun tidak kelihatan sebarang harapan untuk membongkar kebenaran.

Mengapa mereka menghabiskan begitu banyak masa berkaitan dengan Anwar apabila ada isu yang jelas dan mudah di hadapan mereka yang memerlukan penyelesaian?

Trio Datuk yang dahsyat yang memiliki video pornografi itu seharusnya dikenakan pertuduhan sekarang. Trio Datuk T sepatutnya menerima akibat kerana menayangkan video pornografi itu kepada umum.

Dengan begitu banyak bukti yang tidak boleh disangkal terhadap trio tersebut serta mencabar polis, mengapa ia harus dilengah-lengahkan lagi?

Mengapa ada keengganan untuk mengambil tindakan untuk menghukum mereka yang menayangkan video porno tersebut? Apa yang menghalang polis dan Peguam Negara?

Karpal Singh terang-terangan menegaskan bahawa pelacuran bukan satu kesalahan tetapi menggunakan tempat untuk pelacuran atau menyara diri hasil pendapatan pelacur adalah satu kesalahan.

Menurut Karpal, “Sesiapa yang mencari pelanggan atau mendesak dengan tujuan pelacuran atau sebarang tujuan tidak bermoral di mana-manapun harus dihukum penjara….” Jika itu adalah undang-undangnya, di manakah kedudukan Anwar dalam hal ini? Beliau bersalah atas kesalahan apa?

Satu laporan mengatakan polis telah menemui tempat di mana hubungan seks itu berlaku dan mengenal pasti pelacur tersebut.

Mengapa mereka masih belum mengambil tindakan terhadap pemilik bangunan itu kerana membenarkan tempatnya digunakan untuk ‘tujuan tidak bermoral’? Mengapa mereka masih belum mengambil tindakan terhadap orang yang mendapatkan khidmat pelacur?

Penyangak yang merancang untuk mengerjakan Anwar telah dikenal pasti; penglibatan mereka dalam hal menjijikkan ini telah dibuktikan. Kenapa kita tidak melakukan sesuatu ke atas mereka?

-P RAMAKRISHNAN

* Penulis adalah Presiden Aliran Kesedaran Negara (Aliran). Rencana ini dipetik dan diterjemah dari teks asal portal Aliran.

-KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan