Pengikut

Ahad, 3 April 2011

Sambutan Penduduk Pulau Pinang Kepada Najib Hambar

Walaupun menafikan menunjukkan minat secara langsung untuk menawan kembali Pulau Pinang, namun kenyataan Perdana Menteri bahawa sambutan masyarakat di Pulau Mutiara itu begitu memberangsangkan terhadapnya, begitu melucukan.

Ini kerana kata Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman, kehadiran Najib seringkali disambut hambar penduduk walaupun acara sambutannya meriah.

“2,000 orang yang datang tapi tumbangkan kerbau lembu 10 ekor, ayam beratus-ratus ekor... itu pun bawa budak MRSM, politeknik, penuntut USM datang dengan
bas. Penduduk tempatan tak sampai banyak itu.. orang-orang yang datang ini adakah dengan kehadiran seorang Perdana Menteri?

“Dan yang keduanya orang yang hadir itu adalah orang yang dibawa.. bukan orang yang duduk di situ. Kalau begitu, ia adalah sambutan yang tidak seberapa seperti yang didakwa oleh BN,” kata Mansor kepada Tv Selangor.

Semalam Najib dipetik sebagai berkata, beliau yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang ekoran sambutan baik yang diterimanya dari rakyat Pulau Pinang ketika turun ke negeri itu.

"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," kata Najib yang dipetik Bernama.

Walau bagaimanapun, tidak semena-mena hari ini presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menafikan kenyataan Najib itu sambil menjelaskan pemimpin nombor satu negara itu tidak akan mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Katanya, Najib sendiri menafikan laporan yang dipetik dari Bernama itu.

Koh juga menyifatkan masih terlalu awal untuk membincangkan rancangan menawan Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula dipetik sebagai berkata, Pakatan Rakyat tidak kisah dengan laungan Najib sebaliknya bertekad untuk melipatgandakan usaha untuk membawa perubahan di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang (pimpinan) PR akan mengadakan siri pertemuan di seluruh negeri untuk memperbaiki prestasi dengan menggandakan usaha kami demi (memberi) perkhidmatan lebih baik bagi rakyat dan (menjamin) urus tadbir baik untuk berhadapan dengan tekad Datuk Seri Najib Razak mahu menawan balik Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sama ada ada perubahan angin di Pulau Pinang yang akan membolehkan BN menang balik Pulau Pinang, itu tidak penting,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan