Pengikut

Isnin, 4 April 2011

Pemuda Pakatan, NGO lancar gerakan Maruah tolak politik lucah

Pemuda Pakatan Rakyat dengan kerjasama 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini melancarkan gerakan Muafakat Rakyat Anti Politik Lucah (Maruah) menuntut Putrajaya mengambil tindakan terhadap “Datuk T” ekoran pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minggu lalu.

Pengerusi Sektretariat Maruah Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata jawatankuasa bertindak Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO yang bermesyuarat pagi ini sepakat menolak sebarang politik berunsur lucah termasuk video seks.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan memberitahu, ekoran pendedahan rakaman video seks yang diadakan di Carcosa Seri Negara, pihaknya menuntut agar tindakan tegas dan segera diambil terhadap “Datuk T.”

“Datuk T” yang terdiri daripada bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim telah menggemparkan negara apabila bertindak menayangkan rakaman video seks kepada media.

“Melalui gerakan ini (Maruah), kita menuntut agar kerajaan melalui Peguam Negara dan polis tangkap dan dakwa Datuk T atas kesalahan memiliki video lucah.

“Kita juga desak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan agar memulakan segera pertuduhan terhadap Datuk T di bawah kesalahan qazaf (tuduhan zina) kerana menuduh tanpa mempunyai saksi,” kata Shamsul Iskandar pada sidang media di sini.

Jelas beliau, pihaknya juga menuntut agar seluruh rakyat Malaysia untuk menolak sebarang bentuk politik yang berasaskan fitnah dan lucah.

“Selain itu kita juga mahu institusi agama dan mufti-mufti untuk menyatakan pendirian mereka, jelaskan apa hukuman menayangkan video lucah kepada umum,” katanya.

Menurut Shamsul Iskandar, Maruah akan digerakkan pada 19 April ini di ibu negara selain akan mengadakan siri jelajah mengenai isu tersebut di seluruh negara.

“Kemuncak gerakan ini adalah pada 6 Mei yang mana kita akan mengadakan perhimpunan aman yang mungkin akan kita adakah di Masjid Negara, apa-apa maklumat terkini akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Selain Pemuda Pakatan Rakyat, gerakan itu juga dianggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Bekas-bekas Imam, Saf Anti Fitnah (Saf) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

-The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan