Anwar berkata, sepatutnya kerajaan Kelantan berbincang bersama dengan pemimpin parti lain sebelum melakukan sebarang perubahan dari segi undang-undang, peraturan atau pelaksanaan undang-undang di negeri itu.
"Saya percaya ini akan memberi gambaran tepat sekali gus mengelakkan salah faham yang boleh mengeruhkan suasana atau disalah tafsir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pembangkang di Parlimen di sini, semalam.
Turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan tetap tidak berganjak dengan keputusan mengharamkan perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak supaya pengharamannya ditarik semula.
Berikutan pengharaman itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mendesak kerajaan Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu kerana ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-Undang Kerajaan Persekutuan dan Kelantan.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata beliau menyambut baik kesediaan Pas untuk berbincang bersama PKR dan DAP berhubung pengharaman segala perjudian termasuk loteri kebajikan di Kelantan, selewat-lewatnya Khamis ini.
“Lokasi perbincangan itu masih belum ditetapkan sama ada di Kedah atau Kelantan,” katanya.
Anwar yang juga Penasihat PKR itu berkata, antara yang terbabit dalam perbincangan itu nanti termasuk Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya Sarawak, Abdul Hadi, berkata pembahagian kerusi antara parti sudah hampir selesai berdasarkan persetujuan semua pihak.
"Hanya ada sebahagian kecil saja yang belum ditentukan. Bagaimanapun ia dijangka selesai sebaik saja pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak," katanya.
-SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan