Pengikut

Sabtu, 5 Mac 2011

Pakatan Rakyat Akan Demonstrasi Secara Besar-besaran

Pakatan Rakyat (PR) mengugut untuk mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran sekiranya undi pos terhadap unit beruniform termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar demonstrasi di beberapa negara Arab disebabkan kekecewaan rakyat terhadap sistem pelaksanaan pilihan raya tidak adil dan bersih.

“Bagaimanapun, saya berharap rakyat Malaysia tidak melakukan demonstrasi besar-besaran yang akan memberi impak negatif dari segi ekonomi dan keselamatan rakyat, sebaliknya mengubah pucuk pimpinan negara melalui PRU sebagaimana negara India,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di Karnival Kedah Sejahtera di Kompleks Pas Pokok Sena di sini, semalam.

Mohamad berkata, keengganan kebanyakan pemimpin negara dunia ketiga melaksanakan pilihan raya dengan lebih adil adalah disebabkan mereka menggunakan kuasa politik untuk mengaut kekayaan peribadi dan bimbang semuanya hilang sekiranya pilihan raya bersih diadakan.

Menurutnya, PR sudah memutuskan untuk mengadakan Perhimpunan Bersih Kedua tidak lama lagi yang dijangka menghimpunkan lebih 300,000 orang untuk menuntut Kerajaan Pusat mengadakan PRU yang adil.

“Pas menuntut PRU lebih adil dilaksanakan kerana rakyat kini memilih jalan perubahan untuk memperoleh demokrasi yang sebenar.

“Dakwaan pembangunan tidak akan berlaku sekiranya PR mengambil alih Kerajaan Pusat tidak benar, sebaliknya proses pembangunan kerajaan akan dijalankan dengan lebih telus dan adil sekiranya kami diberi peluang,” katanya.

Mohamad berkata, kekalahan teruk kem pro-Aspirasi di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terhadap calon Pro-Mahasiswa pada pilihan raya kampus lalu disebabkan ketidakpuasan hati penuntut terhadap Kerajaan Pusat yang memaksa mereka membayar semula Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) dengan segera, walaupun mereka menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan belum bekerja.

“Bagaimana mereka hendak mencari wang membayar PTPTN sedangkan mereka masih belum bekerja, selain perlu membiayai kos pengajian peringkat sarjana yang agak mahal?

“UMNO dan BN bertindak menukar pelan biasiswa PTPTN menjadi pinjaman dan saya menyeru penuntut dan rakyat negara ini supaya menolak kepimpinan mereka yang tidak mementingkan hak rakyat,” katanya.


Dari SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan