Pengikut

Isnin, 28 Mac 2011

Nalla mahu dedahkan siapa Anwar kepada pemimpin PAS

Di sebalik pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” minggu lalu, bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakaruppan pula mahu bertemu pimpinan PAS bagi mendedahkan sendiri siapa sebenarnya Ketua Pembangkang itu.

Beliau berkata, kini tiba masanya untuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalannya Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mengetahui siapa Anwar.

“Pimpinan PAS boleh pilih tempat dan waktu, saya sedia bersemuka dengan mereka bagi menjelaskan siapa sebenarnya manusia bernama Anwar yang mereka julang sebagai ketua.

“Sebaik-baiknya saya diberi peluang bertemu dengan pemimpin tersebut kerana mereka orang yang boleh membuat keputusan dalam parti,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia semalam, disiarkan hari ini.

Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) berkata, perjumpaan tersebut sangat penting bagi menyelamatkan rakyat terutamanya orang Melayu dan penyokong kuat PAS.

“Mereka harus sedar sifat-sifat sebenar Anwar yang tidak boleh kita julang sebagai pemimpin. Anwar tidak layak menjadi pemimpin.

“Penyokong PAS harus memilih orang yang benar-benar layak diangkat sebagai ketua mereka dan Anwar bukan pilihan tepat serta tidak layak untuk menjadi pemimpin,” dakwanya.

Menurutnya, banyak perihal Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang tidak diketahui dan ia perlu diperjelaskan kepada mereka.

“Jangan biarkan mereka terus mempercayai bahawa segala apa yang dibongkarkan mengenai Anwar adalah fitnah belaka, tidak perlu taksub kepada Anwar,” katanya.

Nallakaruppan berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut dengan isu video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tindakan “Datuk T” mendedahkan rakaman video seks melibatkan seorang didakwa pemimpin pembangkang dengan pelacur dari China.


-The malasian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan