Ia merupakan kemuncak beberapa siri lawatan Perdana Menteri sejak tahun lepas, seringkali merentasi negeri yang sangat luas ini dengan menaiki helikopter untuk “merasai denyut nadi rakyat”, nun jauh di pedalaman di mana penempatan luar bandar dan rumah panjang yang bertaburan menjadi ciri-ciri lumrah.
Bagi majoriti penduduk Sarawak, semangat 1Malaysia telah menjadi konsep yang telah pun diuji selama beberapa generasi namun kunjungan oleh kedua-dua pemimpin negara kali ini, pastinya menunjukkan komitmen mereka kepada amalan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”
Dengan pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang bakal menjelang tidak lama lagi, jadual lawatan mereka sudah tentu akan membawa keceriaan kepada kalangan rakyat, yang masih inginkan kepastian berhubung kesinambungan dasar pembangunan sosio-ekonomi kerajaan dan kestabilan politik.
Sebagai permulaan, Najib dan Muhyiddin dijangka bersama-sama menghadiri pelancaran program Sejiwa Senada bagi bahagian Samarahan di Serian, kira-kira 65km dari sini, dan kemudiannya beredar untuk melakukan tinjauan mesra di Bandar itu, disusuli dengan majlis makan tengah hari di gerai Perbadanan Pembangunan Ekonomi Serian Sarawak (SEDC).
Kira-kira 500,000 orang dijangka mengunjungi gerai penerangan dan perkhidmatan yang diwujudkan di bawah program yang dilaksanakan di seluruh negeri itu sebagai wadah untuk kerajaan bertemu rakyat dalam menyebarkan inisiatiaf inovatif dan kreatif, termasuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam sejajar dengan konsep 1Malaysia.
Terdahulu pada hari yang sama, Najib buat julung kali akan bertemu rakan Facebook beliau dalam sesi Mari Berjumpa, Mari Berhubung di kompleks Dewan Undangan Negeri lama di Petra Jaya di sini.
Dalam reaksi segera kepada jemputan itu, Sarinah Abdullah, salah seorang rakan beliau dalam laman rangkaian sosial itu, berkata beliau seringkali mengimpikan untuk bertemu Perdana Menteri namun tidak pernah berkesempatan.
Seorang lagi rakan Facebook Perdana Menteri, Kamsiah Saufi, ingin tahu sama ada lawatan itu merupakan tanda pilihan raya semakin hampir.
Perdana Menteri, yang akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut dijadual beramah mesra dengan penduduk setempat semasa tinjauan mesra itu dan sesi bertemu rakyat di Kampung Semera, Sadong Jaya di Samarahan.
Penduduk di bandar akan turut menghadiri majlis serupa yang akan diadakan pada sebelah tengah hari di kawasan pasar basah Taman Kenyalang di sini.
Pada masa ini, penduduk Taman Kenyalang adalah antara mereka yang memperoleh manfaat daripada semakan semula premium untuk memperbaharui pajakan tanah baru-baru ini, yang tidak dinafikan lagi merupakan kadar paling rendah di Negara ini.
Sementara itu, Muhyiddin, yang akan diiringi isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, dijangka bertemu pegawai kanan pendidikan di sebuah hotel di sini, dalam kedudukan beliau selaku Menteri Pelajaran.
Dalam acara berasingan, beliau akan menghadiri sesi bertemu rakyat di Rumah Wilson Bada, sebuah rumah panjang Iban di Gran Stumbin, bahagian Sri Aman.
Beliau kemudian akan beredar untuk melakukan tinjauan mesra ke Skim Skrang di Engkilili, Sri Aman, kira-kira empat jam perjalanan berkereta dari sini.
Skim Skrang kini dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit di bawah inisiatif Tanah Hak Adat Bumiputera. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan