Pengikut

Khamis, 17 Mac 2011

DAPSY Kumpul 100 Ribu Tanda Tangan Bantah Projek Nuklear

Susulan keenganan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) memansuhkan cadangan pembinaan loji nuklear di Malaysia, Pemuda Sosialis DAP(DAPSY) akan mengumpul 100 ribu tandatangan rakyat seluruh negara bagi membantah pendirian kerajaan itu.

Tindakan ini bagi mengenakan tekanan kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk membatalkan hasrat meneruskan agenda kepentingan korporat yang dikhuatiri mampu mendatangkan kesan buruk jangka panjang kepada negara.

"DAPSY akan melancarkan kempen mendapatkan tandatangan untuk membantah projek ini bermula Ahad akan datang. Ia akan bermula di Miri. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui cuba lari daripada menjawab mejawab soalan kami," ujar Ahli Parlimen Rasah yang juga Ketua DAPSY, Anthony Loke pada sidang media di parlimen.

Tambahnya, kesemua 100 ribu tandatangan tersebut akan dikumpul dalam masa sebulan untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri Malaysia.

Justeru katanya, kempen tersebut akan bermula di Miri pada Ahad ini berikutan potensi pembangunan loji nuklear berhampiran dengan sumber air.

Tambah beliau, rakyat yang menetap di persisiran pantai harus diberi pendedahan menyeluruh tentang bahaya loji nuklear sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan projek berkenaan.

Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merancang untuk meneruskan pembinaan dua loji nuklear meskipun mengetahui kesan negatif yang dialami oleh Jepun ekoran gempa bumi dan tsunami yang berlaku minggu lalu.

Susulan itu, loji-loji tenaga nuklear di timur laut Jepun itu dilaporkan berhadapan dengan masalah kegagalan reaktor berfungsi dan pembebasan gas radioaktif yang didakwa boleh memudaratkan masyarakat setempat.

Oleh yang demikian, Anthony berharap dengan usaha kempen anjuran pihak pembangkang itu akan membuka minda pemimpin-pemimpin kerajaan untuk mengambilkira pandangan masyarakat sebelum melaksanakan sebarang projek berisiko tinggi di negara ini.

"Kita harap kerajaan akan mempertimbangkan respon yang diberikan oleh rakyat tidak lama lagi," ujar beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan