Sewaktu isu PAS mahu utamakan orang Melayu dimainkan media arus perdana, ramai yang bertanya kepada saya tentang pendirian Pas itu. Saya tidak berminat untuk mengulas isu itu kerana tidak tahu isu sebenar. Pada fikiran saya, sesuatu isu yang dimainkan oleh media perdana mengenai parti pembangkang, belum boleh dibuat pegangan. Mungkin ada udang di sebalik batu.
Hal ini berdasarkan pengalaman lampau. Yalah, kalau perkara itu betul dan menguntungkan parti pembangkang, buat apa disiarkan secara meluas. Mereka tentu sudah tahu, isu yang akan dimainkan itu boleh membawa kepada kemerosotan keyakinan orang Melayu kepada Pas. Tetapi mereka mungkin lupa, orang Melayu zaman sekarang bukan seperti orang Melayu zaman penjajah dahulu.
Walaupun saya tidak mahu mengulas secara rasmi, tetapi di dalam hati terdetik juga beberapa persoalan; salahkah pas menukar nada?; benarkah pas menukar nada?; betulkah tukar nada kerana kemerosotan pengundi Melayu?
Dalam mencari jawapan itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli, seperti yang disiarkan dalam Melaysiakini, menyebut petikan teks asal ucapan Nik Aziz yang antara lain menyebut: “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini".
Katanya lagi, akhbar Mingguan Malaysia sengaja membuat isu dengan membuang dan menambah perkataan dalam ayat di atas. Akhbar itu menyebut: "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu." Dibuangkan agenda dakwah dan digantikan dengan perjuangan.
Ucapan Nik Aziz Nik Mat tersebut adalah ketika merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini.
Dengan petikan ini, tidak salah lagi media perdana itu tersilap strategi dalam membuat laporan. Malah laporannya tidak menggugat keyakinan orang Pas terhadap partinya. Sebaliknya, orang Melayu yang di atas pagar pula hilang keyakinan kepada media perdana itu.
Walau bagaimanapun dalam mencari jawapan di atas, saya baru temuinya dan jawapan pada soalan tersebut adalah:
Secara ringkasnya saya berani tegaskan, memang tidak salah sesuatu parti itu menukar nada. Malah memang wajar kena tugar nada sesuai dengan perubahan zaman. Tidak mungkin sewaktu kanak-kanak nadanya sama dengan waktu dewasa dan tua. Dalam perjuangan mesti ada strategi yang perlu diubah.
Tetapi kalau nada itu dimaksudkan sebagai dasar, saya dapati tidak ada yang berubah lagi. Adapun “Mengutamakan Melayu” bukan dasar baru. Mungkin dalam perlembagaan tidak disebut Melayu, tetapi meletakkan perjuangan Islam tentulah merujuk kepada Melayu kerana waktu itu orang Islam adalah orang Melayu. Orang Cina dan India Islam masih belum ramai.
Akhirnya, pertukaran nada itu langsung tiada kaitan dengan kemerosotan undian orang Melayu kerana sokongan orang Melayu masih sama. Orang yang mahu perjuangan Melayu tetap berpihak kepada Umno, dan orang Melayu yang mahu perjaungan Islam tetap berada di pihak PAS. Yang berubah hanya orang yang di atas pagar.
Jadi, orang Melayu di atas pagar ini perlu diberi perhatian oleh pejuang-pejuang parti. Berikan perhatian serius kepada mereka dengan menjelaskan kepada mereka, mana lebih baik Melayu atau Islam. Alangkah baiknya kalau mereka menjadi orang Melayu Islam yang benar-benar takut kepada Allah.
Dari Rakyat marhaen
Tiada ulasan:
Catat Ulasan