Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang walaupun parti itu mengalami kekalahan.
Menurutnya, Pas bukannya memburu kemenangan dalam pilihan raya di dunia semata-mata, tetapi dalam masa yang sama turut memburu kemenangan di akhirat.
“Pas tewas di Tenang, namun kami berpuas hati kerana melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar (menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran).
"Adapun UMNO, bolehkah perjuangan mereka dibawa ke akhirat?” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
PRK Tenang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim berjaya mengalahkan pencabarnya, Normala Sudirman daripada Pas dengan majoriti 3,707 undi.
BN mendapat 6,699 undi manakala Pas 2,992 undi.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagaimanapun mempersoalkan tindakan pemimpin BN yang mengetepikan etika dan undang-undang demi mendapatkan kemenangan.
“Lihatlah di Tenang, dijanjikan peruntukan RM30 juta tanpa sedikit pun dijeling Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Barangkali bagi mereka (UMNO), pengundi di Tenang boleh dibeli seperti membeli binatang ternakan. UMNO masih belum serik mempermainkan rakyat kerana hanya itu termampu dilakukan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan