Pengikut

Selasa, 1 Februari 2011

Jangan Putus Asa Kalah di Tenang

Kekalahan pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N05 Tenang tidak patut dirisaukan sebaliknya ia perlu dilihat sebagai langkah positif yang perlu diambil bagi mencipta kemenangan besar pada pilihanraya umum akan datang.

Dalam satu ceramah di Tokong Lao Sin See Yeh, Gopeng malam semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar penyokong terus yakin dengan perjuangan PKR serta berusaha dengan lebih giat lagi.

"Ini soal Tenang; menang, ini sekejap sahaja tak usah pandang, sayapun ada beritahu (Datuk Seri) Nizar (Jamaluddin), tak payah pandang ini," kata beliau kepada kira-kira 2 ribu hadirin.

Beliau berkata, senario pilihanraya Tenang hampir sama dengan pilihanraya kecil DUN Ijok pada tahun 2007 di mana walaupun dengan calon yang berkelayakan tinggi dan berwibawa, Tan Sri Khalid Ibrahim, PKR kalah juga dengan perbezaan undi yang besar.

Tetapi dengan usaha gigih para penyokong dan jentera parti, PR berjaya menang besar di Ijok dan juga keseluruhan negeri Selangor dalam pilihanraya umum ke-12, Mac 2008 lalu.

"2008 tempat yang sama (Ijok) melonjak besar, negeri Selangor Umno tumbang dengan (Datuk Seri) Khir Toyo pun 'koyo' sekali," kata beliau lagi.

Anwar seterusnya meminta agar para penyokong percaya dan yakin dengan perjuangan parti serta yakin dengan Resolusi 100 hari PR 'Buku Jingga' kerana hanya dengan keyakinan, kemenangan besar seperti di Selangor pada pilihanraya lalu dapat diulangi di negeri-negeri lain.

Katanya lagi, rakyat juga perlu mengelak dari mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber tajaan Umno-BN seperti akhbar Utusan Malaysia dan TV3 yang sentiasa menabur fitnah dan memutar belitkan fakta menggambarkan seolah-olah PR musuh rakyat dan tidak boleh dipercayai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan