Pengikut

Isnin, 3 Januari 2011

Selangor Pinda Perlembagaan Kembalikan Kuasa Lantik SUK kepada Kerajaan Negeri dan Sultan

Kerajaan Negeri Selangor akan meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Langkah itu diambil selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berpendapat baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan yang dilantik terus oleh Putrajaya tanpa merujuk kepada kerajaan negeri.

Tan Sri Khalid berkata kuasa yang ada pada istana bersabit pelantikan jawatan-jawatan kanan itu ditarik balik oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional pada tahun 1993, ketika krisis Perlembagaan.

Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, dan perlembagaan negeri-negeri lain dipinda ketika itu bagi memusatkan lagi kuasa kerajaan persekutuan dan menghakis pengaruh Raja-Raja Melayu.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Dewan Undangan Negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk membetulkan keadaan itu dengan mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar bersabit perlantikan SUK, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dalam pertemuan lebih sejam dengan Sultan Sharafuddin pagi tadi, Khalid berkata baginda mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mencari penyelesaian terbaik mengenai pelantikan Khusrin oleh Putrajaya.

“Justeru, demi kebaikan negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut,” tegas beliau.

Tan Sri Khalid berkata sementara menunggu penyelesaian muktamad antara kerajaan negeri dan SPA, kerajaan negeri tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk majlis dan keraian berkaitan pelantikan Datuk Khusrin.

Ini bermakna tidak ada majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar dan Datuk Khusrin juga tidak akan hadir sebarang mesyuarat EXCO dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, kata Khalid.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru berkuatkuasa 1 Januari walaupun jawatan itu hanya kosong pada Mac depan.

Pelantikan itu dilakukan secara mutlak oleh Putrajaya tanpa merujuk kepada kerajaan negeri yang telah menjalankan proses penyaringan sendiri untuk memilih calon terbaik sebelum dikemukakan untuk perkenan Sultan Selangor.

Khusrin adalah bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor yang sering tidak sehaluan dengan kerajaan negeri dan dilihat lebih cenderung kepada politik Umno.

Pelantikannya dikhuatiri akan memberi kesan jentera kerajaan negeri khususnya dalam melaksanakan keputusan-keputusan yang diambil oleh mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Komen