Tersenyum. Itulah yang berlaku apabila membaca ulasan Menteri Luar Anifah Aman mengenai isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Tersenyum kerana itulah kata-kata pujian yang 'semestinya' dikeluarkan oleh seorang menteri mengenai isteri bosnya. Tak kan nak keluarkan kata-kata yang 'tak sedap didengar', nahas jawabnya.
Anifah, adik kepada Ketua Menteri Sabah Musa Aman, menyatakan bahawa Rosmah Mansor adalah seorang yang bijak, cerdik dan merupakan satu aset kepada Najib. Saya setuju bab aset Najib kerana itulah hakikatnya. Jika Rosmah bukan seorang yang pintar, sudah tentu dia tak boleh laku apa yang dilakukannya. Hanya orang yang pintar mampu berbuat demikian sehingga ada pemimpin negara lain yang tertarik dan kagum dengannya.
Menurut laporan Bernama dari Kota Kinabalu semalam (Sabtu 30 Jan), Anifah berkata Rosmah adalah seorang wanita yang bijak yang telah menyumbang kepada pengukuhan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain. Hebat, amat hebat.
Sebagai bukti, katanya, Rosmah mendapat banyak jemputan untuk memberi ucap utama pada persidangan-persidangan antarabangsa terutama yang berkaitan pembelajaran awal kanak-kanak dan isu berkaitan wanita dan pembangunan sosial.
Berdasarkan kenyataan Anifah Aman itu kita akui kehebatan Rosmah Mansor. Kita juga bersyukur kerana atas kebijaksanaan Rosmah juga maka nama Malaysia menjadi wangi dan harum di kalangan negara-negara membangun dan maju. Mungkin sebelum ini banyak negara yang tidak kenal dan tahu mengenai Malaysia. Terima kasih Rosmah.
Bagi saya, Rosmah Mansor adalah seorang wanita yang cukup hebat. Saya katakan demikian berdasarkan pengalaman bertugas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, iaitu bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, pejabat Timbalan Perdana Menteri dan pejabat Menteri-menteri di JPM dan Ketua Setiausaha Negara. Pendek kata, Bangunan Perdana Putra adalah mercu tanda kepimpinan negara. Di situlah dasar dan hala tuju negara di bincang, di rumus dan diperturunkan arahan pelaksanaannya
Saya bertuah dapat bertugas dalam bangunan penting itu di bawah dua orang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seketika di bawah Tun Abdullah Ahmad..
Hasil daripada wujudnya Internet, maka wujudlah laman-laman sesawang kerajaan dan tidak ketinggalan laman sesawang Pejabat Perdana Menteri (PMO). Laman sesawang PMO mula wujud semasa Tun Mahathir menjadi PM.
Maklumat yang dimuat dalam laman sesawang PMO semuanya berkaitan tugas dan urusan rasmi termasuk berkaitan jabatan dan agensi yang diletak di bawah PMO selain yang dihubungkan melalui sistem Internet.
Semasa pentadbiran Tun Mahathir dan Tun Abdullah, tidak wujud apa-apa unit atau bahagian yang khas untuk isteri masing-masing. Tidak pula wujud sebarisan pegawai untuk berkhidmat khusus untuk mereka.
Tetapi, atas kebijaksanaan seseorang maka wujud sebuah bahagian khas dalam PMO yang turut dimuat atau dipapar dalam laman sesawang PMO. Bahagian khas itu dinamakan "F.L.O.M. Division" Tetapi, setelah kewujudannya menjadi topik panas dalam beberapa laman blog, tiba-tiba ia 'hilang' entah ke mana. (Lihat di bawah ini paparan direktori bahagian khas itu)
Bukan menjadi rahsia yang F.L.O.M. itu membawa maksud "First Lady of Malaysia", iaitu satu gelaran yang dirujuk kepada Rosmah Mansor walaupun ia tidak tepat kerana isteri ketua kerajaan bukan "First Lady" tetapi isteri ketua negara. Ini bermakna Bahagian F.L.O.M. diwujudkan untuk Rosmah Mansor dan ia merupakan satu sejarah yang boleh dimasukkan dalam "The Malaysia Book of Records " kerana pertama kali wujud sebuah bahagian khas untuk isteri PM. Bukankah ia memperlihatkan kehebatan Rosmah Mansor dan bukankah ia turut menunjukkan bahawa ia adalah satu strategi orang bijak?
Bahagian itu diketuai oleh seorang Pegawai Khas bernama Datuk Siti Azizah Sheikh Abod. Saya kenal orang ini kerana pernah sama-sama bertugas dalam sebuah kementerian bernama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Jawatan terakhir Siti Azizah sebelum bersara ialah Ketua Setiausaha di kementerian berkenaan.
Selain Siti Azizah, bahagian khas ini turut dianggotai oleh lima orang pegawai lain yanag sudah tentunya hebat-hebat belaka. Maklumlah mereka berkhidmat untuk seorang isteri PM yang hebat.
Saya tidak tahu sama ada kewujudan jawatan-jawatan tersebut dilulus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perkhidmatan Awam kerana ia membabitkan wang rakyat untuk membayar gaji dan upah serta menanggung segala perbelanjaan jabatan khas itu.
Selain daripada itu, adakah perlu dan terdesak sangat untuk mewujudkan sebuah bahagian khas untuk isteri Perdana Menteri?
Mungkin akan terpanggil seorang daripada menteri untuk memberi penjelasan bahawa semuanya itu dibolehkan oleh undang-undang dan ada peruntukan dalam Pekeliling Perbendaharaan ataupun Perlembagaan itu sendiri.
Tidak hairanlah jika ianya berlaku kerana di Malaysia, semuanya boleh!
Sumber Dari MR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan