Pengikut

Jumaat, 14 Januari 2011

Isu Azan: Protes Bantah Dakwaan Minta Henti Guna Pembesar Suara

Satu protes dirancang untuk diadakan selepas solat Jumaat hari ini, dipercayai bagi membantah dakwaan mengatakan sebuah masjid di kawasan Lembah Pantai di sini diminta tidak lagi menggunakan pembesar suara ketika azan.

Memetik laporan Malaysian Insider , Khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan sejak beberapa hari lalu mendesak orang Islam supaya berkumpul di Masjid Al-Kalsiah, Pantai Dalam - bagi membantah tindakan seorang "peguam Cina" mahu supaya azan dihentikan - perkembangan dikhuatiri bakal mencetuskan ketegangan baru di kalangan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

"Apa hak dia menyuruh kita menghentikan azan? Peguam Cina itu dengan angkuh menulis satu bantahan kepada Perdana Menteri dan menyebut ia adalah hak asasi dia untuk membuat permintaan itu," dakwa SMS tersebut.

"Semua jemaah diminta supaya menghadiri solat Jumaat 14 Januari di Masjid Al-Kalsiah Pantai Dalam dan menyertai protes membantah peguam Cina itu yang minta supaya azan dihentikan," tambah SMS yang disebarkan itu.

Bagaimanapun nama peguam tersebut tidak dinyatakan dalam SMS tersebut.

Ia menambah, masjid yang terletak di kawasan komersial baru yang dipanggil Bangsar Selatan itu mula dibuka sejak 30 tahun lalu dan peguam tersebut berpindah di kawasan yang majoriti orang Melayu sejak setahun lalu.

Satu ketika dahulu, kawasan Pantai Dalam dipenuhi dengan rumah setinggan dan rumah flat kos rendah tetapi kini ia telah dibangunkan dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, seorang pegawai dari Pekida mengesahkan protes tersebut akan diadakan di pekarangan masjid tersebut hari ini dan mendakwa pengurusan masjid itu dipaksa mematikan pembesar suara sejak dua minggu lalu.

"Sudah dua minggu sejak masjid dipaksa mematikan (pembesar suara) ketika azan dan penduduk tertanya-tanya apa yang terjadi. Kemudian mereka dapat tahu ia disebabkan tekanan yang diberikan peguam Cina itu," kata Rahimuddin Harun dari Pekida Kuala Lumpur.

"Ini sepatutnya tidak terjadi kerana rumahnya terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tapi masjid dipaksa mengalah kerana dia telah menulis surat kepada semua orang," katanya.



-TVs

Tiada ulasan:

Catat Ulasan