Pengikut

Rabu, 12 Januari 2011

DR HASSAN ALI - JIKA KELUAR DARI MULUT ITU SUMBANG, LEBIH BAIK DIAM

SEKIAN lama merindui suara YB Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor semenjak dari rakyat Selangor bangkit menyerahkan memorandum ke Istana membantah tindakan SYABAS sehinggalah kehangatan isu perlantikan SUK Selangor, kali ini Dr Hassan Ali bersuara. Sebelum ini yang banyak bersuara mewakili PAS di Selangor adalah YB Khalid Samad, mungkin saya silap atau ketinggalan mendengar suaranya sejak kebelakangan ini.

Pernah beberapa blog sebelum ini bertanyakan di mana Dr Hassan Ali tatkala ribuan rakyat Selangor dan Lembah Kelang beserta pimpinan PR berhimpun di Masjid Negara bagi menyerahkan memorandum ke Istana membantah tindakan SYABAS. Peliknya, yang kelihatan di pintu Istana bersama MB Khalid Ibrahim adalah YB Khalid Samad. Mungkin Dr Hassan Ali hadir tetapi terlewat atau pun beliau keuzuran ketika itu. Ada blog melaporkan beliau langsung tidak hadir semasa perhimpunan tetapi hadir ke rumah MB Selangor setelah selesai perhimpunan. Saya tidak percaya berita itu, kerana mana mungkin Dr Hassan Ali bersikap sedemikian kerana beliau adalah Pesuruhjaya PAS Selangor.

Di dalam isu perlantikan SUK, boleh dikatakan semua pimpinan PR termasuk PAS sepakat mengingatkan MB Selangor tentang sejarah di Perak. Hampir semua bersetuju bahawa perlantikan itu tidak beretika dan mempunyai motif politik. Cuma Dr Hassan Ali sahaja mempunyai nada yang agak ganjil sedikit tentang isu ini. Memetik laporan di dalam Malaysiakini, "Hasan turut memberi amaran, kerajaan negeri mungkin akan menghadapi masalah sekiranya melancarkan serangan peribadi ke atas Khusrin. Jelasnya, tindakan itu tidak adil kepada 28,000 penjawat awam di negeri itu. "Jika mereka berpiket, kita mungkin akan bermasalah," katanya (Malaysiakini). Mungkin Datuk Khusrin lega sedikit dengan AMARAN oleh Dr Hassan Ali kepada Kerajaan Negeri Selangor yang beliau sendiri sebagai Exconya.

DR Hassan Ali juga menyebut, beliau tiada masalah untuk bekerja dengan Datuk Khusrin kerana beliau mempunyai pengalaman bersamanya. Mungkin beliau tiada masalah dengan Datuk Khusrin kerana Datuk Khusrin dilantik sebagai SUK Selangor yang bekerja rapat dengan MB Selangor serta ramai lagi Exco, bukan beliau seorang. Jika MB Selangor merasakan tidak selesa dan mungkin bermasalah dengan Datuk Khusrin, begitu juga Exco-Exco yang lain kecuali Dr Hassan Ali, adakah bijak Datuk Khusrin diterima?

Mungkin Dr Hassan Ali hanya nampak bagaimana suatu ketika bekas Pengarah JAIS ini menarik kembali tauliah kepada YB Khalid Samad, maka Datuk Khusrin telah mematuhi peraturan? Bagaimana dengan kisah Adun DAP memasuki ruang masjid, kisah Najib ingin menggunakan masjid untuk politik dan kisah pemimpin MIC yang juga memasuki ruang masjid?

Walau bagaimanapun, Dr Hassan Ali mengakui kaedah perlantikan Datuk Khusrin itu agak luar biasa. Tetapi, Dr Hassan Ali tidak pula memikirkan mengapa ianya terjadi secara luar biasa. Luar biasa tentu ada sebab, bukan?

Apabila membaca kenyataan Dr Hassan Ali itu, kesimpulannya bolehlah dikatakan bahawa Dr Hassan Ali berharap agar Kerajaan Negeri Selangor usah kecuh atau sibuk sangat tentang isu ini. Seperti katanya, Dr Khusrin masih boleh dibimbing dan dibentuk. Kalau begitu nasihat beliau, elok sangatlah. Kita cuma bimbang nanti tidak sempat kita membentuk Datuk Khusrin, dia pula yang `membentuk kerajaan baru' menggantikan PR di Selangor. Tidak tahulah jika Dr Hassan Ali masih tertunggu-tunggu saat itu. Pada saya, jika yang keluar dari mulut itu sumbang, lebih baik diam saja macam dulu.



Oleh: WFAUZDIN NS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan