Pengikut

Khamis, 23 Disember 2010

WikiLeaks Dedah Abdullah gagal bertindak kejadian rogol melibatkan menterinya?

Pendedahan WikiLeaks berhubung kejadian rogol terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan seorang Menteri Kabinet era mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat mampu menggugat hubungan Malaysia-Indonesia dan menjejaskan imej negara.

"Walaupun laporan WikiLeaks ini boleh diragui kesahihannya, namun sekiranya kejadian rogol ini benar-benar berlaku, ia akan memberi imej buruk kepada negara sekaligus mengugat hubungan Malaysia-Indonesia.

"Tambahan pula semenjak kebelakangan ini, begitu banyak kejadian-kejadian yang menyebabkan perselisihan faham rakyat antara kedua-dua negara berjiran ini," demikian menurut Naib Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha (gambar bawah) ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang telah mencipta sejarah sebagai satu-satunya tokoh wanita negara ini yang menduduki kerusi Timbalan Speaker turut memberitahu FMT, kejadian seperti ini haruslah ditangani dengan telus.

"Saya bukan mengulas tentang laporan ini tetapi secara umumnya, kita tidak boleh mengamalkan budaya yang membezakan layanan undang-undang terhadap orang kenamaan dan rakyat biasa.

"Walau siapa pun yang dituduh, ia perlu menjalani proses perundangan yang sama seperti orang lain dengan telus. Apatah lagi jika membabitkan seorang pemimpin yang mendapat kepercayaan rakyat untuk memimpin dan merupakan pemimpin di peringkat pembuat dasar," katanya lagi.

"Undang-undang sama untuk semua. Kalau tidak bagaimana kita hendak memastikan orang yang berpengaruh dan ada kedudukan ini lebih bertanggungjawab sekiranya mereka mendapat layanan yang istimewa apabila mereka melanggar undang-undang," katanya lagi.

Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya kejadian seumpama ini dan tindakan undang-undang haruslah diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan dan pihak yang melindungi perbuatan seperti ini.

Penganiayaan terhadap wanita

"Kalaulah laporan WikiLeaks ini sahih, saya mengutuk sekeras-kerasnya dan tindakan undang-undang harus diambil terhadap sebarang kejadian penganiayaan terhadap wanita lebih-lebih lagi jenayah rogol dan termasuklah yang melindunginya," ujar beliau.

Sebelum ini dalam satu laporan blog Rocky Bru yang nama sebenarnya Ahirudin Atan (gambar kanan) hari ini menyiarkan pendedahan WikiLeaks bahawa salah seorang menteri ketika era Abdullah menerajui pentadbiran kerajaan telah merogol seorang pembantu rumah warganegara Indonesia.

Menurutnya, kejadian tersebut turut diketahui oleh Abdullah sendiri, namun tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap menteri tersebut.

Bagaimanapun menurut blog itu lagi, menteri terbabit hanya digugurkan sebagai menteri dalam satu rombakan kabinet yang dibuat oleh Abdullah tidak berapa lama selepas beliau mengetahui berita itu.

Beliau turut mencatatkan, pada masa ini menteri tersebut kembali aktif dari persaraannya apabila dilantik semula sebagai pengerusi sebuah badan kerajaan yang baru dibentuk pula.

Rocky Bru yang juga terkenal sebagai blogger proUmno juga menjelaskan, cerita tersebut telah sampai ke pengetahuannya semenjak tiga tahun lalu namun hanya dapat disahkan apabila pendedahan dibuat oleh WikiLeaks baru-baru ini.

Susulan peristiwa yang berlaku pada tahun 2007 ini, ketika mangsa ditemuramah di kampungnya di Jawa Tengah pada Julai tahun yang sama, mangsa telah membuat pengakuan terhadap kejadian itu.

Akhirnya laporan kejadian yang berlaku ketika tempoh perkhidmatan mangsa tersebut bersama bekas menteri terbabit menjangkau lapan tahun telah dibuat dan diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, Indonesia dan juga Pejabat PM sendiri.

Menurut sebuah badan NGO pula, kejadian yang menimpa amah yang mempunyai dua orang anak itu turut diketahui oleh suaminya tetapi disebabkan perasaan takut dan malu, tiada usaha yang serius dijalankan untuk mendakwa menteri terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan