Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr Abdul Aziz Bari menyelar tindakan pihak tertentu yang sengaja memadam mahupun menyembunyikan fakta sejarah negara.
Menurut Aziz, dalam mendokumentasikan sejarah sesebuah negara, sentimen-sentimen seperti politik haruslah diketepikan bagi menjamin ketelusan maklumat berkenaan.
"Soal sejarah ini soal fakta, soal kebenaran, soal negara. Perkara seperti ini tidak patut dicampur aduk sentimen dan pandangan politik.
"Kalau sejarah boleh dilihat begitu, hal-hal lain bagaimana?," ujar Dr Aziz ketika diminta mengulas berhubung pendedahan yang dibuat oleh penulis buku, Dr Ranjit Singh Malhi yang mendakwa kebanyakan fakta dalam buku teks sejarah telah diputarbelitkan.
Dr Ranjit, seorang penulis buku sejak tahun 1990 dan bekas penasihat buku teks sejarah kepada Kementerian Pelajaran dalam wawancara bersama akhbar The Sun berkata, buku teks sejarah yang digunapakai di sekolah-sekolah pada hari ini dibanjiri dengan kesilapan fakta.
Menurut Dr Ranjit, beliau pernah memaklumkan tentang kesalahan fakta tersebut kepada Kementerian Pelajaran, bagaimanapun ia ditolak oleh pegawai kementerian terbabit dan melabelkannya sebagai 'anti nasional'.
Kata Dr Aziz, hal berkenaan sejarah perlu diasingkan dari perspektif politik dan hanya mereka yang arif mengenainya sahaja boleh mendokumentasikan fakta tersebut.
Malah katanya, pemantauan mengenai fakta sejarah ini juga tidak harus dipantau oleh mereka yang terdiri daripada ahli politik.
Mengulas tentang gelaran yang diberikan kepada Dr Ranjit kerana memberikan teguran kepada Kementerian Pelajaran, menurut Dr Aziz ianya tidak patut sama sekali.
"Itu tidak patutlah. Kalau dia kemukakan perkara yang sebenar, yang sebetulnya, sepatutnya perkara itu dilihat dan tidak sepatutnya dituduh 'anti nasional'.
" 'Anti nasional' ini hanya untuk musuh negara dan saya tidak fikir teguran seperti itu dianggap sebagai 'anti nasional'," katanya lagi.
Merujuk kepada contoh yang diberikan Dr Ranjit apabila sesetengah personaliti tidak diberikan pengiktirafan sepatutnya, Dr Aziz sekali lagi menekankan, jangan ada sejarah yang disembunyikan.
" Seharusnya tidak ada perkara-perkara yang dipadam atau disembunyikan.
" Ini satu perkara yang saya fikir patut dilihat dalam konteks yang lain juga. Soal kemerdekaan dan sebagainya yang patut diambil kira. Umpamanya pembinaan Kuala Lumpur. Ini satu contoh yang relevan untuk diambil kira," ulasnya lagi.
Sementara itu, Presiden PIBGN, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan ketika diminta mengulas isu sama berkata, sejarah negara tidak harus ditulis dalam dua versi berbeza.
Justeru katanya, pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini seperti Kementerian Pelajaran dan pakar dalam bidang sejarah harus segera menyelesaikan perkara yang menggusarkan rakyat ini.
" Kita tidak mahu misalnya perkara sejarah ini ada dua pihak.
" Untuk memberi kepuasan kepada semua pihak terutama kepada warganegara yang tertanya-tanya perkara ini berlaku, betulkah yang dinyatakan dan muslihat yang dibangkitkan itu ada kebenarannya. Jadi perlu ada perbincangan, rujukan atau pun penyiasatan," katanya ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan