Azmin Ali menyifatkan penggantungan empat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk beliau yang diputuskan Parlimen semalam tidak berlandaskan kepada “undang-undang”, sebaliknya bermotifkan politik untuk mengurangkan suara Pakatan Rakyat dalam Dewan Rakyat.
Semalam, Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (Bukit Gelugor), R. Sivarasa (Subang) dan Azmin daripada tugas sebagai Ahli Parlimen selama enam bulan.
“Saya dan rakan-rakan di dalam Keadilan (PKR) dan Pakatan Rakyat berpendapat bahawa tindakan Dewan Rakyat ini merupakan tindakan yang bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengurangkan suara Pakatan Rakyat di dalam Dewan.
“Ini merupakan tamparan kepada pembangunan demokrasi dan keluhuran undang-undang di dalam negara. Demokrasi terancam dalam negara akibat pemerintah yang tidak punya hasrat untuk berubah dan tidak mahu mengangkat keadilan serta kebenaran,” kata Azmin (gambar) yang juga Ahli Parlimen Gombak dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Presiden PKR itu juga menegaskan tindakan Dewan Rakyat itu akan menyebabkan Umno-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan “tumbang” pada pilihan raya umum ke-13.
“Saya cukup yakin rakyat mampu menilai bahawa Umno-BN dengan pemusatan kuasa, tidak menghormati integriti institusi Parlimen dan keangkuhan pemerintah yang korup itu akan menyebabkan kerajaan Umno-BN tumbang pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang,” katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh digantung ekoran dakwaan beliau mengenai isu berkaitan APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan