Pengikut

Khamis, 9 Disember 2010

Nurul Izzah Pertahankan Surau Kg Kerinchi Dari Di Roboh DBKL

Surau Madrasatul Falah di Kampung Kerinchi hari ini mendapat nafas lega apabila diberi jaminan mulut dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) untuk penangguhan perobohannya.

Malah Lebih 50 kariah dan pelajar Universiti berdekatan bermalam di surau itu malam semalam gara-gara bimbang surau ini diroboh oleh Dewan Bandaraya DBKL untuk tujuan pembangunan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut hadir pagi ini untuk menyatakan sokongan untuk mengekalkan surau ini kerana tidak mahu ia dirobohkan.

Campur tangan Nurul Izzah (gambar)dalam hal ini dilihat bukan berpaksi politik sebaliknya mempertahankan hak penduduk di situ.

"Saya akan berhubung dengan pihak kementerian dan DBKL. Saya pada awalnya meminta pihak surau agar berhubung sendiri dengan mereka supaya tidak nampak campur tangan politik tapi tak diendahkan," beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di surau itu pagi ini.

DBKL mengeluarkan notis pada 10 November lalu bagi jemaah mengosongkan surau itu.

Surau itu dibina pada tahun 1998 oleh DBKL sendiri.

Menurut Pengerusi Masjid itu, Jasmi Abdullah surau itu dijaga kariah dan diimarahkan jemaahnya dengan kelas agama dan majlis ibadat.

Beliau juga hairan mengapa DBKL yang mengeluarkan peruntukan mencantikkan surau ini dua bulan lalu, tiba-tiba mahu merobohkannya tanpa sebab yang musabab.

"Sebab surau ni DBKL. Kita jagalah sebab dia besar. Memang ada orang belajar-belajar kitab jadi kita memang nak kekalkan macam ni lah," kata Jasmi.

Sementara itu, golongan mahasiswa turut bersama membantu mempertahankan surau ini dari diroboh.

Malah mereka juga terlibat dalam memeriahkan dan menghidupkan surau ini dengan aktiviti kerohanian.

Kedudukannya yang dekat dengan rumah pelajar Universiti Malaya dan saiznya yang besar turut menjadikan ia selesa digunakan penduduk dari Bukit Angkasa, Kampung Kerinchi dan Bukit Kerinchi.

Setiausaha Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK), Mohd Taufik Yaakob menegaskan bahawa rumah ibadat patut dipertahankan demi keharmonian tidak kira atas agama sekalipun.

"Kalau satu surau dirobohkan tak mustahil banyak lagi surau yang akan diroboh. Kami menentang kerosakan ke atas rumah ibadat hatta kalau rumah ibadat agama lain pun kita tetap akan menghalang kerana menjejaskan keharmonian antara kaum," katanya kepada Tv Selangor.

Taufik bersama lebih 30 pelajar dari Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SAMM) bergabung bersama KMK bermalam di surau ini.

Bagaimanapun sehingga jam 11, tiada anggota DBKL kelihatan tetapi kira-kira 15 anggota polis seakan menunggu di hadapan jalan masuk ke surau tapi tidak melakukan apa-apa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan