SAYA tidak dengar dengan telinga sendiri bagaimana seorang perwakilan dalam kongres PKR beberapa hari lalu telah mentafsir ayat Quran di dalam ucapan atau perbahasannya. Tidak tahu ayat berapa dan dalam surat apa ayat yang digunapakaikan itu. Tetapi nampaknya perbuatan perwakilan itu sudah dijadikan isu oleh pihak tertentu.
Disebabkan saya tidak mendengar sendiri dari konteks bagaimana ayat Quran itu digunakan, maka tidak dapat saya nak mengulas atau memberi pandangan saya berhubungan tindakan berkenaan.
Kalau berdasarkan ulasan pihak tertentu yang anti PKR membayangkan tindakan perwakilan itu satu kesalahan besar. Ia seolah-olah seperti menghina kesucian ayat-ayat Quran dan satu perbuatan tidak patut.
Ia dilihat kotor dan hina lebih hina dan kotor daripada melihat lelaki Islam berganding tangan dengan pelacuran di sekitar ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut,
Cuma biarlah saya menganggap apa yang dilaporkan itu benar - bahawa perwakilan berbangsa India itu menggunakan ayat Quran sebagai mengukuhkan hujah ataupun perbahasannya. Benar dia membaca tafdsiran Quran untuk dijadikan panduan dan peringatan kepada para perwakilan.
Sebelum ini seorang pemimpin DAP di Perak pernah menggunakan atau membaca ayat Quran di dalam ceramahnya. Tindakan itu dikecam oleh para agamawan bersongkok mereng dan juga memakai serban merah. Katanya tindakan itu tidak patut dan penghinaan kepada Islam. Maka pemimpin DAP itu direjam dengan seribu kata-kata nesta siang dan malam termasuk oleh seorang mufti.
Saya sendiri mengkritik tindakan pemimpin DAP itu. Bagaimana pun Tok Guru Nik Aziz menyatakan ia bukan kesalahan, malahan tindakan itu satu perkara yang harus dipuji. Beliau lalu memperli kalau Umno tidak mahu pakai ayat Quran, sebab itulah DAP baca ayat Quran.
Saya merasakan kurang wajar pemimpin DAP itu membaca ayat Quran apa lagi yang mendengarnya orang Melayu. Ketidakwajaran ini bukan kerana Quran itu dikhaskan kepada orang Islam sahaja, malahan kepada seluruh manusia dan makhluk atas muka ini, tetapi tidak wajar kerana yang membaca itu bukan Islam.
Bahasan ini berdasarkan kepada pendapat sesetengah ulama yang menghalang seseorang yang tidak berwujud untuk menjamah al Quran. Jadi kalau hanya menjamah memerlukan wuduk apa lagi membaca maka lebih-lebih memerlukan wuduk! Tidak mustahil kalau pemimpin DAP itu mempunyai wuduk sebelum membacanya?
Dia masih berlum beriman kepada Allah. Jadi adalah songsang orang yang tidak beriman mempercayai kitab Allah tetapi tiba-tiba memperakui ayat-ayat-Nya. Ini dikatakan songsang. Perbuatan pemimpin DAP itu sama lah orang yang tidak memakan pisang (makanan) tetapi mengatakan pisang sedap ataupun boleh mengenyangkan. Kita faham ia digunakan untuk mempengaruhi pendengar dan bukan ikhlas. Perbuatan itu adalah memperolok-olokkan ayat Quran dan samalah sifatnya dengan orang yang membaca tetapi tidak beriman.
Perbuatan seperti itu tidak sah. Sah di sini bermaksud tidak mempunyai keberkatan. Ayat-ayat itu akan berkat sekiranya yang membaca itu memahami isi kandungan Quran dan dia seorang muslim. Quran adalah wahyu Allah kepada Nabi Muhammad. Ia sesuatu yang suci. Kalau Quran itu diperolok-olokkan atau dipermainkan maka kesucian itu akan tercabar. Di sinilah perbuatan seseorang yang memperolokkan Quran dikesali umat Islam kerana ia mencemari kesucian Quran.
Sebenarnya tidak menjadi masalah kalau orang bukan Islam membaca Quran termasuk tafsir dan terjemahan leteral kalau sekadar untuk pengetahuannya. Bacalah. Tetapi kalau ia cuba mengangkat apa yang dibaca itu untuk orang ramai apa lagi orang Islam ia tidak begitu baik. Perbuatan itu umpama orang yang ingin menjadi guru tetapi dia sendiri tidak pernah memasuki maktab perguruan.
Berbalik kepada perwakilan PKR dan juga perbuatan pemimpin DAP yang membaca ayat-ayat Quran itu, ia tidak salah kalau mereka baca untuk diri mereka sendiri. Untuk mereka mengetahui akan kehebatan mukjizat Muhammad itu. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian hati mereka akan terbuka dan mendapat taufik dan hidayah dari Allah.
Adapun orang yang mengecam dan menentang perbuatan mereka itu juga keterlaluan. Mereka seharusnya bukan melarang keras sebaliknya memberi pendidikan dan pengajaran kepada mereka. Bimbing mereka.
Beritahu perbuatan mereka itu kurang sopan dan jangan melarang mereka mendekati dan menjamah Quran. Sesungguhnya mereka yang melarang orang bukan Islam dari membaca tafsiran Quran itu lebih buruk dan jelek dari perwakilan PKR dan pemimpin DAP itu sendiri. Sebagai orang Islam sepatutnya merasa bangga apabila ada orang bukan Islam cuba berjinak-jinak dengan kitabullah itu dan bukan mempertikaikan penuh emosi dan kebencian.
Bukankah salah satu komponen dalam Islam itu akhlak?
Oleh Mohd Sayuti Omar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan