Rakyat digesa menjadi hakim yang adil dan tegas dalam pilihanraya umum akan datang, dan menghukum pemerintah Umno yang telah gagal memelihara kepentingan rakyat.
Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Abdul Hadi Awang berkata rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam tidak boleh membutakan mata kepada rekod penyelewengan Barisan Nasional, dan ekonomi yang semakin menindas rakyat terbawah.
Hujan turun dengan amat lebat di Kemaman malam semalam, namun kira-kira 300 penduduk kampung tetap meredah malam dan angin kuat untuk mendengar ceramah Abdul Hadi Awang di Himpunan Kebangkitan Rakyat atau Bangkit.
"Di Jepun, rakyat mereka menghukum parti LDP selepas beberapa kes rasuah didedahkan. Di negeri kita, kita pilih parti yang paling banyak bagi duit. Kalau kamu nak sangat makan duit rasuah, dan pilih kerajaan yang tak betul, ha kamu makanlah duit haram tu, jadi darah-daging anak bini kita," katanya kepada hadirin di perhimpunan berkenaan.
Hadi meminta rakyat Kemaman supaya membuka mata kepada keadaan ekonomi yang semakin menindas.
Kos kehidupan semakin menekan, seiring dengan kadar jenayah yang tinggi, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pimpinan negara hari ini.
"Kacau bilau negara kita ini...setiap kampung ada dadah. Rompakan disana-sini. Harga barang naik, harga minyak naik, ekonomi macam bencana. Yang tak kesah dengan kenaikan terbaru ini hanyalah mereka yang tidak berkereta," katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan