Pengikut

Isnin, 27 Disember 2010

Awasi perangkap TPM

SAYA tanya Tian Chua, Naib Presiden PKR yang baru, “Bagaimana Anwar boleh menamakan Kit Siang sebagai calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan?”

Jawab Tian Chua bahawa Anwar tidak mencalonkan sesiapa. Dia ditanya media tentang siapa TPM kiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya nanti.

Kata Tian Chua, Anwar tidak menyebut nama sesiapa. “Sesiapa pun boleh.”

Dia ditanya lagi, adakah seorang bukan Melayu boleh jadi Timbalan Perdana Menteri?

Anwar dikatakan menjawab, “Tidak ada masalah.”

Dan ditanya lagi, bagaimana dengan Kit Siang.

Apa Anwar hendak kata? Kalau dia jawab, tidak boleh, tentu ia jadi isu. Bila dia jawab, boleh, juga akan jadi isu.

Apa dia hendak kata?

Yang dia boleh kata ialah “Tidak ada masalah.”
Kata begitu pun juga jadi isu.

Maka disebarlah berita dalam media bahawa Anwar dikatakan akan mengambil Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kata Tian Chua (gambar), Anwar tidak buat cadangan pun.

Bagitulah media memerangkap Anwar dan sekali gus memerangkap Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpinnya dan penyokong-penyokongnya.

Sama ada perangkap itu dipasang musuh terdiri dari puak Ketuanan Melayu atau oleh sesiapa saja, puak Ketuanan Melayu memang suka dengan kejadian itu, kerana ia boleh mencelarukan kelicinan Pakatan Rakyat mencabar monopoli kuasa Umno dan Barisan Nasional.

Memang sedikit sebanyak berita yang tersebar itu sudah mencelarukan keadaan. Ada yang berkata ia belum dibincang dan ada yang berkata begitu dan begini hingga pengundi-pengundi bebas tertanya-tanya.

Selama-lamanya Barisan Nasional terutama Umno menyuruh rakyat bertanya, Siapa Perdana Menteri kalau pembangkang menang?
Masa belum ada Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif dulu, pembangkang tidak sekata menamakan Perdana Menterinya. PAS kata,

Datuk Asrilah. Kemudian, Yusof Rawalah dan Fadzil Noorlah.

DAP pula memikirkan Lim Kit Siangnya.

Semasa Tengku Razaleigh tidak menyertai Umno (Baru) dalam PRU 1990 dulu, Semangat 46 mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai calon Perdana Menteri. Tetapi PAS diam saja.

Semasa Anwar Ibrahim dipenjarakan di Sungai Buloh, pejuang reformasi mengira dialah Perdana Menteri bila BN dikalahkan. PAS tidak kata tidak dan tidak kata OK. Orang politik dan orang ramai tertanya-tanya bagaimana banduan boleh jadi Perdana Menteri? Dia tidak boleh bertanding dan kalau bukan anggota Parlimen, mana boleh jadi Perdana Menteri.

Tetapi setelah Pakatan Rakyat ada, calon Perdana Menteri itu sudah ada. Pertanyaan yang Umno suruh rakyat tanya itu sudah ada jawapannya. Sudah disetujui oleh Pakatan Rakyat bahawa Anwarlah calon Perdana Menteri.

Jika dia tidak sempat dan dipenjarakan sekali lagi pun, maka sudah ada jawapan tentang Perdana Menteri.

Kalau dalam PRU 2008 tiada calon Perdana Menteri yang jelas, BN telah lintang pukang, maka cabaran itu adalah berganda apabila Perdana Menteri menunggu itu ada dan bergerak. Walaupun pembangkang belum tentu menang, tetapi ia belum tentu kalah. Akan tetapi kerajaan BN pula belum tentu kalah, tetapi tidak pasti pula menang.

Bagi menghalang Pakatan menang, maka celarukan ia dengan isu Timbalan Perdana Menteri. BN tentulah TPMnya ketuanan Melayu. Kalau TPM Pakatan Rakyat bukan Melayu, maka ada ruang bagi Umno menghasut pengundi Melayu supaya jangan lari daripadanya.

Maka orang Pakatan - kecil dan besar – jangan latah dengan perangkap APCO atas isu TPM itu. Reaski masing-masing jangan pecah di mulut dan laman web. Jangan jadi isu TPM sebagai penghalang destinasi ke Putrajaya.

Pastikan tiba ke destinasi dulu. Lepas itu tahulah Tok Guru Nik Aziz dan Karpal Singh apa nak buat dan Tok Guru Haji Hadi dan Lim Kit Siang juga tahu apa hendak dibuat.

Di mana Ustaz Hadi dan Kit Siang hendak ditempatkan tidak sepenting membentuk sebuah kerajaan yang adil dan saksama, memerangi rasuah dan penyelewengan, menjamin keluhuran undang-undang dan demokrasi.

Jika Pakatan dikecamukkan oleh isu TPM, jalan ke Putrajaya nescaya bengkang bengkok. Jika ia tidak sampai ke Putrajaya, peluang tiba lima tahun lagi tidak semudah hari ini. Macam-macam boleh berlaku lima tahun lagi. Keadilan sosial tidak dapat ditegakkan dan rasuah tidak dapat dibendung.

Menyedari isu TPM itu satu perangkap, maka tidak sesiapa patut latah dengannya.



-Subky Latif

Tiada ulasan:

Catat Ulasan