Pengikut

Isnin, 22 November 2010

ROS belum terima permohonan daftar lambang Pakatan

Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) Datuk Md Alias Kalil berkata, pihaknya belum menerima permohonan PKR-DAP-PAS untuk mendaftarkan lambang Pakatan Rakyat.

“Sebenarnya, parti (Pakatan Rakyat) itu pun belum diluluskan lagi,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Pakatan Rakyat dibentuk membabitkan ketiga-tiga parti itu selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen keduanya di Pulau Pinang bulan depan.

Laporan sebelum ini menyebut permohonan untuk mendaftar Pakatan Rakyat telah dipanjangkan kepada pejabat pendaftar pertubuhan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata hasrat pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS untuk bertanding menggunakan satu lambang menjelang pilihan raya negeri Sarawak hanya satu alat untuk mengaburi rakyat akan perjuangan mereka yang sudah tidak sehaluan.

Beliau berkata PKR-DAP-PAS yang tidak mempunyai persefahaman dan mahu menggunakan satu lambang dalam pilihan raya negeri akan datang merupakan sesuatu yang melucukan.

“Apabila dalam parti sendiri, kerusi dan meja sudah melayang tetapi bercadang pula untuk menggunakan satu lambang (pada pilihan raya akan datang), ia merupakan kosmetik.

“Di negeri-negeri yang mereka memerintah, janji tidak ditunaikan sehingga rakyat marah manakala wakil-wakil rakyat pun keluar daripada parti. Jadi, apa yang nak dibincangkan pasal bertanding di bawah satu lambang?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Hishammuddin menyempurnakan majlis penutup Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Dalam Negeri di Tebingan Boyan-Gersik-Sourabaya (BGS) di sini hari ini.

Mengenai penubuhan parti-parti baru di negeri Sarawak menjelang setiap kali pilihan raya negeri, Hishammuddin berkata beliau belum menerima laporan dari ROS berhubung perkara itu.

“Yang menjadi tanda tanya ialah kenapa parti-parti baru hanya ingin didaftarkan ketika menjelang pilihan raya. Kita tidak mahu memperjuangkan mereka yang mengambil tindakan hanya mengikut musim. ROS pun faham permainan pihak-pihak tertentu,” katanya.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan permit penerbitan serta lesen mesin cetak kepada tujuh syarikat di sini.

Beliau mengingatkan setiap pemilik permit penerbitan dan lesen mesin cetak agar sentiasa mematuhi syarat-syarat Lesen dan Permit, Garis Panduan Penerbitan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Kementerian akan memantau supaya setiap pemilik permit dan lesen sentiasa mematuhi syarat-syarat demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Hishammuddin turut menyampaikan sijil dan geran bernilai RM20,000 kepada 10 pertubuhan cemerlang di sini sebagai mengiktiraf sumbangan pertubuhan cemerlang dalam usaha memperbaiki taraf hidup, kebajikan, pendidikan, keagamaan dan kebudayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan