Usaha mewujudkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lebih tersusun dan dari segi organisasi harus bermula dari sekarang tegas Dr Syed Husin Ali.
Justeru PKR perlu berwaspada dan melaksana gerak-kerja penambahbaikan dengan segera jika tidak mahu gagasan Pakatan Rakyat menerima nasib yang sama perikatan-perikatan pembangkang yang lalu.
"Hanya dengan demikian baru kita boleh menangkis segala serangan dari luar. Sekarang ini PKR dan tokoh utamanya, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, menghadapi bermacam-macam rancangan dan percubaan untuk melemah dan memporak perandakan.
Beliau menjelaskan Umno-BN menyedari bahawa PKR memainkan peranan yang besar dalam membentuk Pakatan Rakyat.
"Mungkin benar kerana ia paling muda dan baru sekarang mengalami segala perit getir yang dilalui lebih awal oleh PAS dan DAP untuk menjadi lebih kuat. Namun musuh-musuh kita, terutama pimpinan Umno menyedari PKR memainkan peranan besar untuk menguatkan Pakatan," kata Syed Husin.
"PKR melalui Anwar berjaya menyatukan dan memantapkan Pakatan. Itulah sebabnya sasaran musuh kini ditumpukan terhadap PKR dan Anwar," tambahnya lagi.
Syed Husin berkata sejarah menjadi saksi kepada usaha pemerintah mengagalkan perikatan-perikatan pembangkang melalui pelbagai taktik-taktik halus.
Beliau meminta akar umbi supaya menelaah momentum Angkatan Perpaduan Ummah yang terhenti setelah imej pemimpinnya Tengku Razaleigh Hamzah dicemar dengan tuduhan jahat seperti ejen Kristian.
Taktik yang sama juga digunakan untuk menyerang pemimpin yang mampu mengikat kerjasama komponen Pakatan Rakyat.
"Ketara sekali pihak berkuasa dengan rakus memperalat media, mahkamah dan polis untuk menghukum Anwar," katanya.
"Media dan individu-individu tertentu sambut menyambut mendendangkan lagu sumbang selah dalam orkestra kokak, menuntut Anwar meletakkan jawatan. Mereka tiada hak. Anggota-anggota parti melalui wakil-wakil mereka dalam Kongres seperti inilah yang berhak menentukan kedudukan ketua umum kita," tambah Syed Husin.
Beliau turut mencurigai kewujudan entiti politik 'Third Force' yang kini diuar-uarkan sebagai pencabar utama Pakatan Rakyat.
"Jika terbentuk, badan ini boleh memberi nafas kepada Umno-BN. Ia akan juga menyulitkan Pakatan untuk mencapai kemenangan besar. Perkara ini perlu ditangani dengan bijaksana," tegas Syed Husin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan