Pengikut

Rabu, 3 November 2010

Pilihanraya Tak Dapat Mengubah Apa-apa

Pilihanraya di Malaysia hanyalah sebahagian kosmetik dalam dunia demokrasi yang dijual oleh Umno dan Barisan Nasional. Kita rakyat Malaysia terus dipaksa untuk menerima konsep demokrasi yang Umno dan Barisan Nasional tentukan. Hasilnya, kita ditipu dan ditipu selama 52 tahun. Walaupun ada suatu masa kita berjaya menang besar, segera diciptanya isu 13 Mei dan hasilnya darurat. Sekarang walaupun berjaya menafikan 2/3 majoriti dan memerintah 5 negeri namun lihat apa yang terjadi di Perak.

Ini semua bukti jelas, pilihanraya hanyalah alat untuk menjustifikasikan di depan mata dunia Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dunia tidak akan mempersoalkan bagaimana ianya dijalankan. Dunia hanya perhatikan negara ini demokrasi atau tidak. Jika Malaysia tidak demokratik maka susah bagi mereka untuk melobi negara - negara luar untuk datang melabur. Mereka yang menjalankan demokrasi ala-Umno ini tidak mahu dihentak teruk oleh negara - negara luar tidak mereka tidak melaksanakan demokrasi. Inilah permainan Umno dan Barisan Nasional.

Kita sering dibodohkan oleh SPR dan Umno. Kita rakyat Malaysia terlalu berlembut dengan mereka yang telah permainkan hak kita. Gambar telah menunjukkan petugas wanita Umno memberi duit kepada para pengundi. Namun SPR mengatakan ianya bukan bentuk rasuah. Tapi bayangkan jika PAS dan Pakatan Rakyat memberi duit sebegitu rupa, maka bersiap - sedialah kita mendengar gegak - gempita daripada pihak SPR. PAS rasuah, Pakatan Rakyat terlibat dengan politik wang dan sebagainya. Kita harus akur dan akui, semua jentera negara atau kerajaan semuanya telah dipegang oleh Umno dan Barisan Nasional. Kita rakyat sedang bertempur dengan satu pasukan tentera yang cukup besar. Jika kita bermain bolasepak, kita sedang berdepan dengan satu pasukan yang mempunyai 22 orang pemain sedangkan kita hanya 11 orang di padang. Sudah pasti teruk kita kena pukul. Permainan yang tidak pernah adil. Namun kita dipaksa oleh Umno untuk menerima cara permainan sebegini rupa. Hasilnya, walaupun menang besar kita tetap kehilangan satu negeri iaitu Perak. Kita tetap dengar ada sahaja ADUN - ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat keluar dari parti. Semuanya kerana Umno bertindak cara mafia. Mereka boleh buat tapi Pakatan Rakyat jangan sesekali berbuat sedemikian rupa.

Kita sekarang dipaksa untuk menjadi manusia yang taat pada Umno secara tidak langsung. Walaupun suara kita, tindakan kita, dan perjuangan kita menentang Umno secara agresif akan tetapi secara tidak langsung kita masih lagi menyokong Umno. Kita masih lagi sayangkan Umno. Buktinya? Kita masih lagi mengikut rentak - tari Umno dan Barisan Nasional. Rentak - tari dalam pilihanraya cara Umno. Demokrasi cara Umno. Walaupun kita menjerit pilihanraya tidak adil namun kita tetap juga menyertainya. Kita sama sahaja dengan orang kampung yang marah dengan kerajaan kerana tidak memberikan kemudahan asas yang cukup. Namun apabila pilihanraya dibuat tetap juga sokong Umno. Bukankah kita sama dengan mereka. Apakah kita sama dengan mereka yang tidak dapat maklumat yang cukup?

Saya tetap percaya, selagi mana kita ikut rentak - tari Umno dan Barisan Nasional. Selagi itulah mereka akan terus berkuasa. Berkuasa hingga kiamat. Jangan harap Putrajaya dapat kita tawan. Kita harus dan wajib tidak mengikut rentak - tari mereka. Kita akan tertipu dengan demokrasi Umno. Kita akan tertipu dengan pilihanraya Umno yang dilaksanakan oleh SPR.

Jalan penyelesaian kepada kemelut ini, lihat saja sejarah perjuangan Indonesia, Korea Selatan (386 Movement), Thailand, Filipina dan sebagainya. Dimana mereka menuntut kebenaran dan keadilan. Lapangan mana mereka menuntut agar hak mereka dikembalikan. Lihat dan sudah pasti anda semua akan mendapat jawapannya.



Dari dragsuperstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan