Pengikut

Rabu, 24 November 2010

Anwar Tidak Gentar Digantung Parlimen

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak gentar menghadapi kemungkinan digantung dari Parlimen bulan depan kerana mendakwa kerajaan Malaysia menggunakan khidmat firma Apco Worldwide yang ada kaitan dengan Zionis Israel dalam mempromosikan gagasan 1Malaysia.

Anwar, bagaimanapun memberitahu media bahawa beliau masih belum dimaklumkan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung ura-ura beliau akan dikenakan tindakan digantung dari menghadiri sesi dewan Parlimen akan datang.

Anwar pada persidangan parlimen Mac lalu mendakwa kerajaan Malaysia menggunakan khidmat firma Apco Worldwide yang ada kaitan dengan Zionis Israel dalam mempromosikan gagasan 1Malaysia.

Beliau turut mendakwa gagasan 1Malaysia yang diperkenal Najib juga mengikut acuan One Israel.

"Saya tidak dimaklumkan mengenai desas-desus bahawa saya bakal dikenakan tindakan penggantungan enam bulan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jadual berskala Pakatan Rakyat di Parlimen petang tadi.

Difahamkan usaha untuk mengenakan tindakan menggantung Anwar dari parlimen sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan adalah sebahagian daripada perancangan jahat Barisan Nasional yang dijangka menggunakan majoriti mereka di parlimen bagi tujuan tersebut.

Anwar dalam pada itu berkata ia adalah juga usaha untuk membendung kekuatan Pakatan Rakyat berikutan desas desus bahawa pilihanraya umum ke13 bakal dilangsungkan pada tahun depan.

Apabila ditanya adakah beliau bimbang dengan kemungkinan dikenakan tindakan tersebut, Anwar menjawab ,"Mereka (BN) pernah memenjarakannya saya selama enam tahun dan apa ada pada penggantungan selama enam bulan."

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, 8 Jun lalu memanggil beliau bagi mempertahankan dirinya behubung dakwaannya yang mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

Keputusan itu dibuat jawatankuasa itu pada mesyuarat pertama mereka di parlimen pada 17 Mei lalu.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dan turut disertai lima anggota jawatankuasa yang lain.

Mereka termasuklah speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee, Ahli Parlimen BN Muar, Razali Ibrahim, Datuk Seri Foong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Nancy Shukri (BN-Batang Saadong).

Selain Karpal, seorang lagi wakil dari Pakatan Rakyat adalah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa Rasiah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan