Pengikut

Rabu, 29 September 2010

Kenyataan Rasis BTN Cerminan Wajah Sebenar Umno

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan berbaur perkauman yang ditiupkan Biro Tatanegara (BTN) dengan menghina masyarakat Cina dan India melambangkan watak sebenar pemimpin Umno sekaligus mendedahkan mereka sebagai golongan berfahaman ekstrim lagi menjijikkan.

Beliau merujuk kepada ucapan seorang pegawai kanan BTN yang menggelar rakyat berbangsa Cina dan India masing-masing sebagai 'si mata sepet' dan 'si kaki botol' dalam induksi dalaman Puteri Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Isnin lalu.

"Membuat suatu analogi yang begitu menjijikkan, itulah wajah mereka yang sebenar Umno. Mereka akan menjadi lebih rasis, mereka akan jadi lebih ekstrim dalam memainkan isu perkauman," katanya di Ibu Pejabat PAS semalam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata insiden terbaru yang dilaporkan juga mengulangi tindakan rasis pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar pada Konvensyen 1Malaysia di Melaka 2 Februari lalu.

Nasir didakwa mengeluarkan kenyataan menghina masyarakat Cina dengan melabel 'wanita jual tubuh', manakala kaum India pula dihina sebagai 'pengemis' di tanah air.

Salahuddin berkata slogan 1Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno hanyalah bagi menutup wajah sebenar parti yang diterajui beliau.

"Mereka tidak pernah mencuba untuk kikis peribadi diri mereka yang sebenarnya.

Sepatutnya, kalau konsep 1Malaysia itu di bawa dengan falsafah, semangat dan roh yang dapat diturunkan kepada semua peringkat akar umbi Umno, saya yakin ianya suatu perkara yang boleh mereka fahami tetapi kita lihat satu kesilapan yang berulang, tak cukup dengan Datuk Nasir Safar yang membuat satu kenyataan yang memalukan.

"Mereka sebenarnya telah terlalu benci kepada orang Cina dan India dalam negara kita, cuma mereka cuba sembunyikan perasaan mereka itu di sebalik 1Malaysia, itulah wajah sebenar Umno," katanya.

Sehubungan itu beliau melahirkan keyakinan rakyat pelbagai kaum tidak mengira Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain kini telah menyedari akan bahaya politik perkauman yang ditiupkan oleh Umno dan BTN itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan