Pengikut

Ahad, 26 September 2010

Benarkah Anwar akan ubah fikiran, tanding kerusi presiden

Anggota Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim yang dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden PKR masih yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengubah pendirian dan bertanding kerusi nombor satu parti itu.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, kini merupakan penasihat PKR.

Beliau yang dibebaskan dari penjara enam tahun lalu telah dua kali menafikan akan bertanding sebarang jawatan kali ini dan telah meminta bahagian-bahagian tidak mencalonkan lagi beliau untuk bertanding jawatan presiden.

PKR kini memasuki minggu kedua mesyuarat agung tahunan yang menyaksikan proses pencalonan. Ia akan berakhir 3 Oktober.

Anwar setakat ini sudah menerima lapan pencalonan tetapi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendahului pencalonan bagi kerusi presiden, jawatan yang disandang sejak 1999.

“Namun, saya merasakan mungkin beliau (Anwar) akan bertanding walaupun menyatakan tidak mahu bertanding. Ini kerana sebagai pemimpin, kita perlu mendengar pandangan dari cabang,” kata Zaid, yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia hari ini.

Zaid, dalam wawancara pertama bersama Mingguan Malaysia sejak dipecat oleh Umno akhir 2008, ditanya soalan bagaimana mahu memperkasakan jawatana presiden yang didakwa kononnya tidak ada kuasa.

Zaid berkata, “kita berhadapan dengan satu keadaan yang unik di mana orang yang benar-benar berkuasa (Anwar) tidak ada jawatan.”

“Saya merasakan kita faham sejarah bahawa beliau pernah masuk penjara dan tidak boleh pegang jawatan.

“Tapi itu pada 2007, namun masa itu beliau cuba bertanding cuma pada saat-saat akhir beliau tarik diri dan ketika itu Rahman Osman hendak melawan beliau.

“Oleh itu Anwar pernah cuba untuk bertanding namun ketika itu beliau tidak layak memegang jawatan kerana kes itu,” kata Zaid (gambar kanan).

Namun sekarang, menurut Zaid, Anwar sudah layak dan beliau menghormati jika tidak mahu memegang jawatan.

“Saya tidak kata orang yang tidak ada jawatan tidak ada sumbangan dan saya tidak kata beliau terpaksa bertanding.

“Cuma saya kata presiden ketika ini adalah Wan Azizah, maka beliaulah yang kita perlu hormati, memberi arahan dan membuat keputusan,” katanya.

Sehubungan itu jelas Zaid, tidak boleh kata hanya kerana kenal baik dengan ketua umum maka keputusan mesti datang daripada ketua umum.

“Ini kerana PKR tidak boleh lain daripada parti lain. Kita kena ikut struktur parti.

“Maka jika saya menang jawatan timbalan, saya lihat boleh merubah keadaan dengan erti kata lain, saya percaya presiden perlu dihormati dan keputusan perlu datang daripadanya,” katanya lagi.

Zaid juga berkata, dari sudut sumbangan Anwar, ahli-ahli parti perlu hargai kerana beliau adalah pengasas dan orang yang terkenal namun tetap tidak boleh melebihi presiden parti.

“Itu yang saya maksudkan. Anwar sudah mendapat lapan pencalonan dan ia melayakkan beliau bertanding,” katanya lagi.

Zaid juga berkata, ramai yang berfikiran sepertinya bahawa Anwar perlu menjadi ketua dan oleh itu, adalah wajar beliau menjadi presiden.

“Kesetiaan saya bukan kepada orang tetapi kepada jawatan itu. Tapi jika beliau kata tidak mahu bertanding maka Wan Azizah sebagai presiden perlu benar-benar berkuasa,” ujar beliau.

Zaid berpendapat bahawa “kita tidak boleh memegang kedua-dua jawatan sekali gus atau kita hendak kuasa tetapi tak nak tanggungjawab.”

“Di cabang-cabang dan ahli-ahli bertanya kenapa perkara ini berlaku,” tegas Zaid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan