Bagi menggantikan UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib
masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ini, maka PAS perlu lebih proaktif bagi mengambil alih kepimpinan tersebut. Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, PAS bukannya sebuah parti kecil lagi, malah merupakan sebuah parti yang memperjuangkan nasib semua rakyat yang memerlukan pembelaan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks An-Nadhoh, Penanti, Bukit Mertajam tengahari semalam.
Salahuddin (gambar kanan) juga berkata, PAS harus memandang ke hadapan bagi menerajui kepimpinan bersama dengan PKR dan DAP yang berganding dalam Pakatan Rakyat (PR).
"Bagi mencapai realiti ini, maka kepimpinan dan juga ahli PAS perlu mendokong konsep yang diamalkan iaitu sidiq, amanah, tabligh dan fatanah yang merupakan ciri-ciri penting bagi menuju ke arah kejayaan tersebut."
Beliau berkata lagi, "PAS telah meletakkan dirinya sebagai sebuah parti Islam yang lebih inovatif dalam membawa produk baru yang mampu dimanfaatkan kepada semua golongan masyarakat dalam negara ini."
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, untuk menjadikan hasrat melangkah ke Putrajaya satu realiti, maka reformasi dalam perjuangan PAS adalah salah satu perkara utama yang perlu mendapat keutamaan semua ahli dan pendokong PAS.
Beliau juga menyokong kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ingin menerapkan nilai-nilai murni dalam kepimpinan yang berteraskan konsep perjuangan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Beliau berkata, Lim Guan Eng sepatutnya diberi peluang dan ruang untuk merealisasikan hasrat beliau menjadikan sistem pentadbiran Khalifah Umar sebagai satu perkara yang akan membawa kejayaan dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Guan Eng perlu mengambil pendekatan untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa DAP mampu untuk menganjak paradigma yang lebih baik di bawah kepimpinan beliau jika dibandingkan dengan kepimpinan Lim Kit Siang."
"Sekiranya beliau mampu untuk membuktikan bahawa kepimpinan yang ingin diterapkan berdasarkan kepada kepimpinan yang telah dibawa oleh Khalifah Umar itu adalah satu sistem yang boleh memberi keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat, maka barulah DAP dapat keluar dari kerangka dan persepsi negatif sesetengah pihak," katanya lagi.
Oleh Nazar Hashim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan