Pengikut

Selasa, 10 Ogos 2010

Ada Apa Dengan Anwar?

Blogger popular, Sakmongkol AK47 telah menulis beberapa artikel yang mensasarkan Anwar Ibrahim sejak beberapa hari yang lalu.

Artikel ini pula bukanlah ditulis untuk mempertahankan Anwar, mahupun mengutuk Sakmongkol AK47. Akan tetapi, artikel ini berminat untuk mengupas dengan lebih mendalam tentang isu sebenar yang secara tidak langsung diketengahkan oleh Sakmongkol AK 47 iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kurang bijak berpolitik jika terus menumpukan usaha mereka menyerang Anwar Ibrahim.

Jika dilihat kepada strategi politik yang sedang digunakan oleh UMNO melalui media massa dan blogger-blogger yang cenderung kepada BN, adalah jelas UMNO menggunakan strategi menghentam personaliti. Anwar, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain dihentam bertubi-tubi oleh saluran-saluran informasi BN ini. Sebagai anak muda yang mengikuti perkembangan politik, saya rasa strategi politik ini amatlah dangkal.

Perlu diingatkan, berjuta-juta pengundi di negara ini tidak mendaftar dengan parti-parti politik. Berjuta-juta pengundi adalah mereka yang duduk di atas pagar. Sebahagian besar daripada golongan ini adalah anak-anak muda dan belia. Golongan ini bersikap terbuka menyokong dasar-dasar yang baik, menolak dasar-dasar yang bodoh dan tidak mengundi berdasarkan personaliti. Dalam erti kata lain, serangan-serangan BN terhadap personaliti pemimpin PR TIDAK akan mengubah pendirian golongan ini dalam proses pengundian nanti.

Golongan ini kebanyakannya sudah tidak peduli lagi sama ada Anwar betul-betul mempunyai hubungan songsang dengan Saiful atau sesiapa pun. Golongan ini juga hanya akan mentertawakan lawak bodoh yang menyatakan Anwar itu agen Amerika/Yahudi. Golongan ini malah tidak ambil pusing lagi jika Anwar akan menjadi Perdana Menteri atau tidak.

Sakmongkol AK47 juga menyentuh tentang tahap intelek Anwar yang banyak digembar-gemburkan berbanding kefahaman beliau yang tidak seberapa. Adakah golongan ini peduli jika Anwar tidak khatam membaca buku Amartya Sen? Akan berubahkah penilaian politik mereka jika Anwar tidak memahami falsafah Thomas Hobbes dan John Locke? Adakah mereka akan beratur untuk menjadi ahli BN jika Anwar tidak pernah menyentuh hasil karya Ibnu Khaldun?

Jawabnya tidak. Kenapa? Mudah sahaja. Golongan atas pagar terutamanya anak-anak muda dan warga belia bukan mengundi mengikut personaliti. Anwar Ibrahim hanya seorang ahli politik yang memangkin perjuangan ke arah negara yang lebih baik. Jika tidak ada Anwar Ibrahim, mungkin ahli politik lain yang terkedepan. Boleh jadi Khairy Jamaluddin. Salahuddin Ayub. Husam Musa. Lim Guan Eng. Tony Pua. Razali Ibrahim. Nurjazlan Muhamad. Gobind Singh Deo. Saifuddin Abdullah. Mungkin juga ahli politik yang lain. Jika inginkan undi daripada golongan anak muda dan warga belia, BN (dan juga PR) wajib mencari jawapan kepada soalan-soalan yang relevan kepada mereka, bukan menghentam personaliti.

Apa soalan-soalan yang ditanya golongan anak muda dan belia? Mudah sahaja. Kami mahu tahu kenapa rasuah masih berleluasa dan apa tindakan yang sedang diambil. Mengapa perkhidmatan awam kita sangat tidak efisien sedangkan kita mempunyai penjawat awam yang sangat ramai? Mengapa kita tidak mempunyai media massa yang bebas? Kenapa masih terdapat monopoli diberi perlindungan daripada persaingan? Mengapa syarikat-syarikat yang sama mendapat kontrak berbilion ringgit? Adakah begitu sukar untuk membina bangunan sehingga syarikat-syarikat yang lain tidak mampu bersaing? Mengapa kami membayar harga yang sangat mahal untuk membeli kereta? Adakah kami akan mendapat ganjaran jika kami bekerja keras? Atau ganjaran diberi kerana warna kulit atau mengikut nama bapa kami di kad pengenalan? Mengapa menteri-menteri dan ahli politik BN begitu mewah hidup mereka sedangkan hidup kami terkontang-kanting dengan hutang dan tekanan kerja? Mengapa kerajaan menyekat kebebasan kami bersuara?

Menumpukan perhatian kepada serangan personaliti juga bagi BN ibarat menggali lubang sendiri. Sebahagian besar pengundi mengundi PR pada pilihanraya yang lalu bukan kerana ahli-ahli politik PR cekap dan baik seperti malaikat. Sebab utama ialah kerana pengundi sudah muak dan benci dengan dasar-dasar dan ahli-ahli BN. Faktor itu masih lagi relevan buat masa sekarang. Contohnya, jika PR digulingkan di Selangor, siapa yang bakal menggantikan Khalid Ibrahim? Yang mampu ditawarkan oleh BN hanya Noh Omar dan Khir Toyo. Saya berani mengatakan jika sepuluh orang pemuda dikumpulkan untuk mendengar ucapan Khir Toyo, sembilan orang akan muntah-muntah sebaik sahaja beliau membuka mulut kerana tidak tahan mendengar hujah-hujah yang bodoh. Cuba lihat kepada ahli-ahli Parlimen BN. Siapa yang rasanya dapat berdiri dan berhujah dengan berintelek untuk mempertahankan hak rakyat? Bung Mokhtar? Nazri Aziz? Rais Yatim? S. Subramaniam? Saya rasa selain daripada nama-nama yang disebut awal-awal tadi (Khairy, Nurjazlan, Razali, Saifuddin), adalah sukar untuk BN bersaing dengan PR dari segi personaliti.

Kesimpulannya, cukuplah menghentam personaliti. Cukuplah membuat laporan polis yang tidak tentu hala. Tumpukanlah kepada pengurusan negara yang berintegriti dan amanah serta pengenalan dasar-dasar yang mesra rakyat. Banteras rasuah dan bersihkan perkhidmatan awam daripada anasir-anasir tidak produktif. Berikan ruang kepada rakyat untuk berfikir dan bekerja keras untuk hidup mereka sendiri. Anwar Ibrahim hanya susuk politik. Memang benar Anwar penting untuk PR tetapi kepentingan Anwar bukan kerana moral atau tahap intelek beliau sebaliknya kerana pengalaman dan pengaruh beliau sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang dapat menjadi jambatan kepada parti-parti dalam PR. Bagi golongan atas pagar terutamanya anak muda dan belia, Anwar Ibrahim bukan faktor dalam pengundian nanti. Faktor utama ialah sama ada BN atau PR yang terbaik untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.


Dari Blog My Argumentum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan