Pengikut

Jumaat, 16 Julai 2010

Pakatan Rakyat Desak Muhyiddin Bertanggungjawab Hutang RM240 Juta MITP

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menuntut Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap hutang sebanyak RM240 juta yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat kegagalan projek sebuah syarikat perikanan yang diluluskan Tan Sri Muhyiddinn Yassin ketika menjadi Menteri Pertanian.

Tony mendedahkan bagaimana surat sokongan seorang ahli parlimen kepada Malaysian International Tuna Port untuk terbitan bon RM240 juta telah menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung hutang kerana syarikat tersebut kini tidak mampu melunaskan hutang itu.

MITP diberi konsesi selama 32 tahun untuk memajukan industri perikanan tuna negara dengan menggunakan jeti Batu Maung sebagai pusat operasi.

Syarikat tersebut gagal mencapai matlamatnya dan menurut ahkbar The Edge Financial Daily MITP culas membayar hutang menyebabkan pihak bank kini memfailkan tuntutan terhadap kerajaan di mahkamah.

"Ini sama sahaja seperti apa yang berlaku dengan skandal Port Klang Free Trade Zone, di mana kontraktor mendapat konsesi daripada kerajaan tetapi bank tidak memberi pinjaman kerana syarikat tiada wang untuk membiayai projek.

"Maka, syarikat tersebut telah mendapatkan surat sokongan daripada menteri dan bank telah meluluskan pinjaman kerana jaminan yang diberi oleh kerajaan melalui surat berkenaan.

"Persoalannya sekarang, adakah kerajaan akan bertanggungjawab membayar hutang ini? Siapa menteri pada masa itu? Muhyiddin Yassin.

"Saya ingin tanya Muhyiddin, adakah anda yang meluluskan projek ini? Satu bon bernilai RM240 juta telah dikeluarkan dan kini tidak dapat dibayar, siapa yang akan bertanggungjawab?.

"Malaysian Rating Agency telah memberikan MITP penilaian kewangan A+, tetapi saya tidak akan menyalahkan MRA. Ini kerana adanya sokongan kerajaan yang diberi melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia," jelas Tony kepada media di parlimen semalam.

Tony menjelaskan MITP dimiliki 60 peratus oleh sebuah syarikat persendirian, Blindforce Sdn Bhd dan 40 peratus oleh LKIM.

Beliau menggelar projek ini sebagai 'projek berfikiran sempit' kerana berahkir sebegini.

"Dulu projek udang harimau di Langkawi, sekarang kita dapat tahu MITP di Pulau Pinang, dan saya tak tahulah apa lagi projek sebegini yang telah diluluskan oleh mereka," kata beliau lagi.

Tony menggesa Muhyiddin bertanggungjawab sepenuhnya sebagai seorang Menteri dan tidak mengelak dengan menyalahkan pegawai bawahannya.

"Perkara surat sokongan tidak munasabah ini perlu berhenti di sini, terutamanya dalam menyokong syarikat yang langsung tiada rekod kewangan," tegas Tony lagi.




Oleh Frederick Luccas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan