Pengikut

Sabtu, 3 Julai 2010

Ayam Dai’e dan Itik Madu

Salam Satu Malaya...
"Rasa-rasanya, kamu semua mahu tak menonton sebuah filem, hero pujaan kamu bertumbuk dengan penjahat, tetapi kemudiannya ditolak jatuh dari bangunan, tersembam ke atas jalan raya dan kemudian mati digelek jentolak? Tidak cukup dengan itu, kekasihnya berpaling tadah dan lari mengikut penjahat yang membunuh hero itu tadi, dan… the end!”, seorang sahabat saya bertanya kepada sekumpulan remaja di dalam study circle mereka dan saya turut sama berada disitu.

Mereka tersenyum dan ada yang ketawa.

Of course tak nak!”, kata salah seorang darinya.

Sekurang-kurangnya biarlah ada tertulis to be continued, betul tak?”, sahabat saya cuba melengkapkan persoalan di situ.

Agak-agaknya kenapalah kita tidak mahu menonton filem seperti itu? Hero yang baik hati, mati katak!”, sahabat saya mahu adik-adik di depan saya ini berfikir.

Mereka diam. Tidak berkata-kata. Masing-masing menoleh ke wajah teman-teman di sebelah. “Ya, itulah petanda mudah betapa kita perlukan Akhirat. Ia fitrah manusia. Yang baik tetapi dizalimi, mesti dibela”, sahabat saya pun memulakan kuliah tentang Beriman Kepada Akhirat.

“Di dunia ini tidak ada keadilan yang mutlak. Banyak penindasan yang tidak dapat dibela. Kalau tiada Akhirat, sempit dada dibuatnya. Kerana adanya Akhiratlah, hidup di dunia ini bermakna. Kamu semua setuju?”, sahabat saya bertanya lagi.

Macam mana tu?”, tanya si adik. Saya kira beliau mungkin berusia dalam lingkungan 11 ke 12 tahun.
Cuba kita ambil contoh pembunuh bersiri, misalnya Dr Harold Shipman di Manchester. Dia telah membunuh sekurang-kurangnya 100 orang mangsa. Agak-agak, apa hukuman paling keras yang kita boleh bagi kepadanya?”, sahabat saya suka berbual dalam format soal menyoal dengan remaja seperti mereka.

Tembak kepala sampai pecah berkecai!”, kata si adik.

Kerusi elektrik!”, sampuk si kakak.

Well, apa sahaja hukuman yang kita kenakan ke atas beliau, walau pun geletek sampai mati atau kerat telinga, hidung, tangan dan kaki perlahan-lahan sekali pun, yang pasti Dr. Harold Shipman hanya boleh mati sekali sahaja, betul tak?”, sahabat saya terus menyoal.

Mereka mengangguk.

Puas hati tak kalau seorang yang bunuh 100 manusia, hanya boleh dibalas dengan satu kematian sahaja?”, sahabat saya bertanya.

Mereka terus khusyuk mendengar sahabat saya berceloteh. Dahi masing-masing berkerut.


Kalau nak puas hati betul-betul, kita bunuh dia, lepas tu hidupkan semula dan bunuh sekali lagi, hidupkan balik dan bunuh lagi, sampai cukup 100 kali. Baru puas, kan?”, sahabat saya menduga.

Ya”, mereka menyahut perlahan.

Hah, yang itu tiada di dunia, dik. Ia hanya ada di Akhirat. Tanpa Akhirat, sakitlah hati kita, siksalah jiwa kita. Dunia tidak mampu memberi keadilan yang kita mahukan”, sahabat saya menyimpulkan penjelasan.

BAHASA LAIN UNTUK TOPIK AKHIRAT

Remaja yang berada di hadapan saya bukanlah remaja yang mudah untuk faham kenapa kita perlu fikir tentang Akhirat, tentang Syurga dan Neraka. Mereka ada semuanya. Hidup mereka dilimpahi kemewahan. Untuk apa mereka diajak bermujahadah di dunia untuk Syurga Akhirat, jika mereka sudah pun hidup di syurga (dunia)? Kerana itulah, mereka tidak boleh didekati dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadith tentang Akhirat sebelum mereka ada kesediaan mental dan emosi untuk mempelajarinya.

Pendakwah mesti kenal dengan apa yang dimaksudkan sebagai paradigma dan mindset. Ia adalah pra syarat untuk kita mendekati mad’u. Cuba lihat Rasulullah SAW menjawab persoalan tentang Islam yang diajukan kepada baginda. Pelbagai versi jawapan yang diberi. Ada masanya Baginda mendefinisikan Islam sebagai berbuat baik kepada ibu bapa, ada ketikanya sebagai jihad fi sabilillah, juga pelbagai definisi lain yang kita temui di dalam himpunan sabdaan baginda SAW. Semua jawapan itu tepat dengan si penyoal.

Bayangkan, jika manusia seperti Abu Jahal bertanya kepada Rasulullah SAW apa itu Islam, lantas baginda memanggil kumpulan nasyid untuk mendendangkan mesej berbuat baik sesama jiran di depan muka Abu Jahal. Mungkin kumpulan nasyid itu akan ditampar percuma sahaja oleh Abu Jahal. Bagi seorang yang kaki gaduh, dia harus melihat ada tempat untuknya di dalam Islam, tetapi menjadi ‘kaki gaduh fi sabilillah’, iaitu memanfaatkan kemahiran berperangnya untuk membela dan mempertahankan Islam. Baru macho!

Tapi kalau pemuja lagu genre selembut sutera diberitahu yang Islam itu adalah kamu mengucap La Ilaha Illallah dan kemudian berikan nyawa di medan Qital, pastinya mencecet beliau lari meninggalkan Islam.

Maka, dakwah Baginda SAW itu dua hala. Baginda tidak hanya melihat ke arah al-Quran dan membacakannya secara bersahaja kepada yang bertanya. Kamu nak terima dakwah ini atau tidak, terpulang! Tidak, demi Allah Baginda SAW tidak pernah begitu.

Sebaliknya, baginda juga menoleh kepada siapa yang berada di depan baginda dan mengambil kira siapa yang bertanya. Dan jawapan Rasulullah SAW menjadi pelbagai dengan pelbagainya jenis manusia yang diseru, walaupun semua kepelbagaian jawapan Nabawi itu datang dari sumber yang sama, Syariat Allah SWT.

KETEPATAN BAHASA DAKWAH

Hari ini, ketepatan bahasa dakwah menjadi semakin mendesak. Kadang-kadang kita terlalu cepat menyalahkan orang ramai apabila mereka dingin terhadap dakwah kita. Walhal mungkin kita yang beku dan tidak berupaya mempelbagaikan cara Islam itu disebut. Mungkin warga Islam kita yang berbondong-bondong murtad itu, selain masalah undang-undang dan hal-hal yang mudah untuk kita salahkan, mereka jadi begitu kerana kita sendiri yang mempersembahkan Islam dalam bentuk yang semakin tidak berkait dengan cara berfikir, nilai dan gaya hidup mereka. Usah pergi jauh, Sungai Besar dan Subang Jaya (sekadar contoh) pun sudah terlalu berbeza manusianya, walau pun di dalam negeri yang sama.

Menyambung kuliah BERIMAN KEPADA AKHIRAT itu dengan kumpulan remaja berkenaan. “Seorang bohsia, buat kerja bodoh dengan seorang bohjan, si bohsia mengandung dan si anak lahir sebagai ‘Aiman’ yang HIV Positive. Bagaimana ia mahu dijustifikasikan tanpa Akhirat? Apa salah ‘Aiman’? Kerana itulah, manusia hari ini mengambil jalan mudah memaki Tuhan sebagai zalim. Naudhubillah”, sahabat saya terus berusaha melengkapkan analogi tentang Akhirat itu tadi.

Hidup di dunia, hanya bermakna dengan adanya Akhirat”, sahabat saya membuat kesimpulan. Mereka mengangguk. Pada sahabat saya, jika anggukan berlaku tanpa disuruh, sampailah sudah mesej dakwah kita kepada sasarannya. Alhamdulillah.

PERBEZAAN NILAI

Sahabat saya berikan satu lagi contoh kepada mereka, “atau seorang perempuan yang menjadi mangsa rogol. Perogolnya ditangkap dan dihukum penjara 5 tahun. Adilkah hukuman itu untuk perempuan yang menjadi mangsa rogol itu tadi?

Kenapa pula?”, tanya si adik.

Ya lah, perogol itu kalau jenis muka tembok, selepas keluar penjara boleh meneruskan hidup seperti biasa. Tetapi perempuan tersebut, menanggung kesan rogol itu sampai bila-bila. Itu kan tidak adil?”, sahabat saya menjelaskan maksud.

Eh, kenapa pula kena derita sepanjang hayat? Dah kena rogol, sudahlah. Teruskan sahajalah kehidupan. Saya tidak nampak ada masalah di situ”, kata si adik yang rajin bertanya.


Ops!, saya tergamam. Kelancaran sesi bersama adik-adik itu terencat. Remaja ini tidak melihat sebarang masalah pada kejadian rogol. Soal kelapa ditebuk tupai, hilang maruah dan kehormatan diri, tidak dapat dilihat relevannya di situ.

Err, maksud saya, dia menghadapi trauma sepanjang hayat. Ketakutan semasa diserang lelaki tersebut”, mujur sahabat saya berjumpa alasan.

Oh begitu. Sepatutnya mangsa rogol kenalah jumpa pakar kaunseling untuk atasi trauma tersebut”, kata si kakak yang nampaknya berpuas hati dengan penjelasan sahabat saya.

Walaupun sahabat saya berjaya memberikan jawapan yang memuaskan hati mereka, tetapi soalan si adik itu telah menyebabkan jiwa saya bergelora dan fikiran saya ligat berfikir. Ini adalah satu lagi pelajaran yang penting buat diri saya, bahawa dalam suasana hari ini, sistem nilai manusia sudah berubah. Apa yang besar kepada kita, mungkin sudah jadi kecil bagi sesetengah yang lain.

Bagi kita yang membesar dalam lunas agama yang baik, soal harga diri amat penting. Usahkan sampai ke tahap soal sebesar seks luar nikah, mahu makan dan menjilat aiskrim di tangga pasar raya pun saya tidak tergamak. Buruk benar rupanya…

Tetapi bagi remaja ini, yang mungkin hidup dalam suasana pergaulan bebas yang ekstrim, soal hilang dara atau tercemar diri, tidaklah menjadi satu persoalan yang besar. “Alah bisa tegar biasa”. Walaupun saya yakin remaja yang bersama-sama saya dan seorang sahabat di dalam majlis itu masih baik dan berbudi tinggi, namun mungkin rakan-rakan dan persekitarannya menjadikan mereka sukar untuk melihat isu rosak kehormatan diri sebagai ‘satu kehilangan’.

Perbezaan kami dan mereka terbukti apabila sahabat saya meneruskan lagi perbualan.

Ada manusia yang bergaduh kerana kuasa sampai sanggup bermati-matian. Mereka sangkakan tujuan hidup mereka adalah pada kuasa. Kalau berebut mahu jadi wakil rakyat, kita fahamlah. Tetapi di masjid pun bergaduh. Berebut mahu menjadi Imam. Sedangkan imbuhannya Cuma RM400 sahaja”, sahabat saya berceloteh.

What! 400 ringgit? What can you buy with that kind of money!”, kata salah seorang dari mereka.

Sekali lagi saya yang terlopong seketika. Sekurang-kurang RM400 itu amat besar untuk manusia seperti saya. Lepas juga sebulan lebih kalau nak buat belanja makan di rumah. Tetapi remaja yang berada di hadapan saya ini berbeza. RM400 mungkin hanya mampu membeli kasut dan sehelai seluar mereka.

Fahamlah saya mengapa kak imah (bukan nama sebenar) beriya-iya memanggil sahabat saya untuk bertemu dengan anak-anaknya dan kawan-kawan mereka.

Akak dah jemput ramai ustaz ke rumah untuk buat kuliah tafsir dan sebagainya. Tetapi feedback mereka tidak baik. Mereka tidak berminat langsung. Susah hati akak”, kata kak imah kepada sahabat saya tue.

Saya akui, masyarakat kita semakin pelbagai. Apalah ertinya kisah tentang mahligai di Syurga bagi orang yang dilahirkan di dalam mahligai dunia?

Saya sendiri masih belajar. Semakin banyak saya belajar dan menyelami tentang manusia, semakin sempit dada saya untuk menelan realiti ini.

Apakah seruan kita kepada Islam pada hari ini, mampu difahami oleh generasi Bangsar yang tiada kampung untuk dikunjung pada setiap Aidilfitri? Relevankah perbahasan kita tentang khilaf fiqhiyyah untuk golongan yang mencari damai di dalam agama?

Ya Allah, janganlah kami menjadi batu penghalang kepada hamba-hamba-Mu menerima hidayah. Bantulah kami untuk memahami manusia ini kerana tanggungjawab kami kepada mereka, adalah juga sebahagian ketaatan kami kepada-Mu, yang menciptakan kami dan mereka. Ameen…

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari kejahilan diri saya sendiri)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam.


-AfzDarkJustice

Tiada ulasan:

Catat Ulasan