Walau pun agak terlambat mengeluarkan keputusan, namun kami ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan UMNO BN dibawah pimpinan PM Najib Razak kerana akhirnya akur akan kehendak rakyat agar tidak meluluskan lesen judi bola. Keputusan ini juga selaras dengan laungan keramat Najib bahawa "rakyat didahulukan". Mana yang baik kita perlu sokong, agar sekurang-kurangnya kerajaan yang ada peka dengan kehendak rakyat itu sendiri. Biarpun sebelum ini hanya pihak pembangkang (Pakatan Rakyat) sahaja yang beriya-iya benar mahu tindakan tegas diambil oleh kerajaan.
Kini nyatakan bantahan tersebut telah mendapat sokongan daripada banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan juga dari kalangan parti UMNO sendiri. Malah, terbaru Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga mengeluarkan kenyataan yang sama terhadap isu ini. Sebelum itu UMNO Johor, Kedah dan Perak telah awal-awal lagi menyatakan bantahan mereka.
Keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen judi bola kepada Ascort Sport Sdn Bhd itu telah dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Dalam satu kenyataan, Najib menegaskan bahawa memang terdapat perbezaan pendapat tentang isu ini sebenarnya namun akhirnya mereka perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan. Malah keraaan katanya bertindak membatalkan keputusan mengeluarkan lesen judi sukan tersebut berdasarkan kepada pertimbangan agama dan kesan politik jangka panjang parti itu.
Dengan keputusan ini ia secara jelas mematikan suara mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang cuba untuk campur tangan supaya lesen judi bola itu diluluskan kepada proksinya Vincent Tan. Ia juga menjelaskan kepada kita bahawa isu ini bukanlah hanya untuk kepentingan politik semata-mata, malah ia menjangkau batasan agama dan peradaban sesuatu tamadun itu sebenarnya. Malah, memang tidak ada ajaran mana-mana agama di dunia ini yang membenarkan dan menggalakkan penganutnya berjudi.
p/s:- Cuma, besarlah harapan kita agar keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah ikhlas dan bukan sekadar retorik politik semata-mata. Kita tidak mahu nanti, ada keputusan lain "under table" yang diberikan kepada pihak yang berkenaan setelah mereka mengemukakan rayuan atau pun desakan oleh dalaman pemimpin karat UMNO seperti Mahathir, Rafidah dan lain-lainnya. Dengan pembatalan ini, maka adakah NGO Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan diteruskan pada 3 Julai ini agaknya.
Adalah lebih elok ia ditanggungkan dulu untuk melihat perkembangan seterusnya. Apapun, kini terbukti apa yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Rakyat supaya kerajaan batalkan hasrat tersebut akhirnya diterima jua. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat bahawa kerajaan UMNO BN kini sudah mula sedar betapa hebatnya suara rakyat. Sewajarnya dalam apa jua perkara pun, rakyat amat perlu didahulukan.
Dari PDO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan