"Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, tak ada orang tak kata. Satu dunia kata. Yang tak kata Utusan Melayu. Yang tak kata Berita Harian. Yang tak kata TV3. Yang tak kata TV1. Yang tak kata TV2. Tapi satu dunia kata pimpinan UMNO Barisan Nasional, zaman berzaman, adalah pimpinan yang paling korup!"
Demikianlah kritikan yang dilontarkan oleh Hasan Ali (gambar), EXCO Kerajaan Negeri Selangor terhadap UMNO-BN. Malah, Pesuruhjaya PAS Selangor yang beberapa kali mencetus kontroversi di kalangan PR ini, menyerang habis-habisan pimpinan UMNO-BN dan bekas Menteri Besar BN Selangor Khir Toyo, semalam.
Susulan daripada seruan terbuka untuk "mengebumikan UMNO-BN pada PRU ke-13" dalam ucapannya di Konvensyen PR Selangor pada 7 Mac, Hasan Ali semalam membuktikan dirinya masih bersama PR, dengan kata-kata pedasnya yang dilemparkan terhadap UMNO-BN dalam "Syarahan Perdana Sempena Ulang Tahun Ke-2 Kemenangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor", di Stadium Malawati Shah Alam.
Pemimpin yang pernah "dikhabarkan" bakal "melompat" untuk menjatuhkan kerajaan PR Selangor ini bermula dengan melafazkan syukur kepada Allah swt, "... Sebab, bagi sesetengah orang, UMNO terutamanya, meramalkan kita (PR) dapat memerintah Selangor ini sekadar enam bulan. Ada yang meramalkan tak lebih daripada tiga bulan. Tapi sekarang sudah masuk bulan yang ke-24, dua tahun hari ini."
Melihat kepada sambutan masyarakat Selangor terhadap PR, Hasan Ali menyambung ucapannya dalam tepukan, "...Yakinlah, Pakatan Rakyat terus jadi pilihan rakyat untuk tahun-tahun dan dekad-dekad yang akan datang!"
Batu asas dalam tamadun manusia
Sebermulanya Hasan Ali berucap, beliau menyeru agar hadirin-hadirat memujuk keluarga, jiran dan orang ramai untuk bersama perjuangan politik PR.
"Nak pujuk untuk apa? Nak pujuk untuk bersama-sama meletakkan satu batu asas pembinaan tamadun manusia, tamadun yang akan ditegakkan atas dasar... satu perkataan yang..., tuan-tuan, sangat memberikan harganya, nilai yang paling tinggi...," sebelum beliau menyambung, "Perkataan itu ialah keadilan."
"Saya nak tengok anak saya hidup dalam suasana adil! Saya nak tengok cucu Hasan Ali nanti hidup dalam suasana adil! Saya nak tengok cicit Hasan Ali nanti hidup dalam suasana adil! Adil untuk dirinya, adil untuk keluarganya, adil untuk masyarakatnya, adil untuk negerinya, adil untuk teman-teman Cina, teman-teman India, teman-teman Melayu yang mesti digarap, yang mesti disongsong atas makna keadilan yang sebenarnya!" kata-katanya disambut dengan tepukan daripada lebih 4,000 penyokong yang hadir semalam.
Khir Toyo menjadi sasaran
Hasan Ali kemudian memperhebatkan serangannya terhadap bekas kerajaan negeri Selangor BN, dengan membandingkan antara UMNO-BN dengan PR.
"Sejarah seluruh Menteri Besar (Selangor), sejarah mereka dicatit dengan sejarah hitam, black history," katanya merujuk kepada 13 orang bekas MB Selangor BN sebelum Khalid Ibrahim menyandang jawatan tersebut selepas PRU ke-12. Beliau sempat mengusik Khir Toyo, dengan berkata, "...Menteri Besar UMNO BN akhir sebelum Khalid Ibrahim, rumah di Shah Alam, (bernilai) 24 juta."
Hasan Ali menyindir Khir Toyo yang memanggil sidang akhbar dalam minggu pertama ketika baru-baru dilantik menjawat MB, memberitahu media bahawa beliau berasal dari "keluarga yang sangat miskin", "...jual botol untuk bayar yuran sekolah", "tapi anak jual botol bina rumah (bernilai) 23 juta!"
Untuk membandingkan antara UMNO-BN dengan PR, beliau mendakwa setiap kali sebelum mesyuarat kerajaan negeri, Menteri Besar (PR, gambar kanan) akan sendiri baca doa, "Wahai Allah, Hindarkan kami dari rasuah, wahai Allah..."
Hasan Ali kemudiannya cuba menonjolkan kekayaan dan kemewahan hidup yang dinikmati pemimpin UMNO-BN, dengan berkata, "Kalau ada istana di Sabak Bernam, istana itu adalah rumah ADUN-ADUN atau MP-MP UMNO-Barisan Nasional, betul atau tidak?"
Malah, beliau seterusnya menyasarkan bekas MB, "Kalau ada istana selain daripada istana Sultan di Shah Alam ini, istana itu pastinya istana Menteri Besar yang ke-13, Yang Amat Berhormat Khir Toyo!"
Kepimpinan Ulamak
Untuk Hasan Ali, perbezaaan kedua yang wujud antara UMNO-BN dengan PR adalah, PR berjaya membariskan ulamak besar seperti Nik Aziz (Mursyidul Am PAS), Hadi Awang (Presiden PAS), Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS) dan Harun Taib (Ketua Dewan Ulama' PAS) dalam pimpinannya.
"Untuk membangun negara, kita perlukan ulamak besar ini untuk merintis jalan kita," katanya. Beliau kemudian menjelaskan bahawa pimpinan ulamak tersebut akan memastikan PR sentiasa berada dalam jalan lurus yang diredai Allah, iaitu jalan yang adil, menjaga hak negeri, tidak mementingkan sendiri, keluarga dan kekayaan untuk peribadi.
Media: Najib-Rosmah-Muhyiddin
Hasan Ali memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Selain membentangkan pencapaiannya dalam "menghidupkan semula masjid dan surau", selepas mengambil alih kerajaan negeri dari UMNO-BN, beliau juga menyentuh isu kebebasan bersuara.
Sambil mempertikaikan "keadilan" yang ditampilkan media cetak arus perdana, beliau menyindir penyiaran rancangan televisyen yang sarat dengan muka-muka tertentu sahaja. "Buka pula televisyen, lepas Najib (Perdana Menteri), Rosmah (isteri Najib). Lepas Rosmah, Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri). Lepas Muhyiddin, Rosmah balik..." kata-katanya ini disambut dengan gelak-ketawa di bawah pentas.
Beliau memaklumkan bahawa kerajaan PR Selangor sedang mengkaji pengubalan Enakmen Keterbukaan Infomasi Maklumat, yang diusahakan oleh EXCO Selangor, Elizabeth Wong. Beliau menjanjikan saluran maklumat yang tepat dan adil untuk masyarakat, melalui saluran media PR seperti Selangorkini, TV Selangor dan sebagainya.
-Hrk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan