Pengikut

Sabtu, 13 Mac 2010

Diantara Ali Dan Baba

Saya bersetuju dengan Ibrahim Ali yang mengatakan tak ada salahnya bagi beliau selaku Pengurusi Perkasa untuk berkerja dengan tauke Cina yang terkaya Vincent Tan, atau dengan mana-mana tauke lain yang membuat projek perumahan atau jambatan atau projek lain di Kelantan. Orang Melayu sepatutnya berkerja dengan siapa saja yang boleh memberi manfaat dan keuntungan kepada orang Melayu sendiri. Yang penting dia betul-betul berkerja atau berniaga secara aktif. Yang penting Melayu ini bukan “sleeping partner” atau bukan Ali kepada Baba. Yang penting Melayu yang tahu harga diri.

Malangnya ramai pemimpin Melayu/Bumiputera yang ada kabel dengan Perdana Menter atau orang atasan lain dapat peluang hanya untuk jadi Ali kepada Baba. Maka dilantiklah Ali ini sebagai pengarah syarikat yang tak buat apa-apa kerja. Ali ini juga diberi saham. Maklumlah, Ali ini kan orang Bumiputra yang ada kedudukan istimewa dan peruntukan khas, walaupun bapa atau datuk dia lahir di Kerala atau Madras, atau di Aceh dan sebagainya. Orang yang benar-benar putera bumi di negara kita seperti Senoi, Negrito dan Proto Melayu di samping kumpulan-kumpulan etnik Semelai, Jakun, Temuan, Temiar dan sebagainya, tak pernah pula kita lihat dapat jawatan pengerusi syarikat-syarikat besarMereka tak ada perlindungan dibawah Perkara 153 yang ajaib itu.

Jadi bila wira Perkasa dan pengikut-pengikut UMNO Baru ini mahu pertahankan “keistemewaan” mereka, apakah sebenarnya yang mereka mahu pertahankan. Tak ada siapa pun yang bercadang nak ambil balik hak Bumiputera di bawah Perlembagaan. Tak orang bukan Melayu dan tidak juga Pakatan Rakyat yang mahu buat begitu. Lagi pun mustahil ianya dapat dilakukan dengan jumlah kerusi yang dipegang di Parlimen oleh kaum Bumiputera. Kadang-kadang ada di antara kita yang lupa bahawa di Sabah dan Sarawak, kaum Bumiputera merupakan kaum majoriti. Jadi apakah yang dibisingkan oleh “pembela hak Bumiputera” ini.

Sebenarnya, yang mereka mahu pertahankan ialah “sistem rentier” di mana nama Bumiputera UMNO itu ada harga untuk mendapat saham percuma atau elaun percuma atau jawatan pengarah dalam sesuatu syarikat. Mereka mahu Baba sentiasa perlukan servis dan nama mereka. Jadi Ali jenis ini sanggup terus mempertahankan elit Baba ini walaupun syarikat-syarikat Baba inilah yang menjadi persaingan dan mengurangkan peluang kepada peniaga Melayu yang tulin ikhlas yang mahu berniaga dengan erti kata yang sebenar. Inilah hakikatnya

Sepatutnya Ali ini perlu sedar diri dan benar-benar berjuang secara ikhlas. Apa yang perlu diperjuangkan oleh Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia ialah supaya Model Ekonomi Baru yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Najib Razak itu dapat membanteras fenomena ekonomi pajakan nama Bumiputera Ali kepada Baba. Selagi Ali mendapat elaun murahan yang mudah dan percuma dari Baba, selagi itulah ekonomi orang Melayu akan dikawal oleh Ali yang ada kabel untuk kekayanan Baba. Baba ini pula bukan sebarangan Baba. Orang Cina pun tak suka mereka kerana bolot segala-galanya.

Tapi saya rasa adalah mustahil Najib akan membersihkan ekonomi “rentier” ini kerana para pemimpin UMNO akan marah, ketua Bahagian UMNO akan marah dan Ahli Parlimen UMNO akan marah. Mereka akan marah kalau Model Ekonomi Baru ini bersifat adil dan memberi peluang saksama kepada rakyat Malaysia. Mereka mahu kepentingan mereka dipertahankan. Mereka akan marah kerana akan hilang peluang mendapat elaun murahan’ peluang jual nama Jadi mungkin Model Ekonomi Baru ini sebenar tak ada apa yang baru kecuali tabiat lama yang akan terus mementingkan UMNOputra. Tetapi kita sedia teliti dan meneliti dasar baru ini dengan adil..


Oleh: Zaid Ibrahim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan