Pengikut

Khamis, 18 Mac 2010

BN cadang heret Anwar ke jawatankuasa khas

Jemaah menteri akan bermesyuarat esok untuk memutuskan sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diheret ke jawatankuasa mengenai hak dan keistimewaan Parlimen.

Tindakan berkenaan berhubung dengan dakwaan ketua umum PKR itu yang 1Malaysia adalah diciplak daripada 'One Israel'


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata: “Saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan kabinet berhubung dakwaan itu kerana kami berpendapat ia adalah keterlaluan.

"Jawatankuasa khas itu kemudiannya akan memutuskan sama ada tindakan perlu diambil ke atas ketua pembangkang kerana meluahkan kenyataan palsu di dalam Dewan, khusus berhubung perkara yang tidak benar mengenai perdana menteri,” katanya.

Ditanya mengenai hukuman yang bakal dikenakan ke atas Anwar jika beliau didapati bersalah, Nazri berkata beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi.

"Bagi seorang pemimpin Islam untuk dikaitkan dengan Zionis adalah perkara yang serius. Seperti yang diketahui, kita menyokong Palestin dan kita menentang Zionis dan juga pentadbiran Israel, jadi untuk mengaitkan dengan Zionis Israel adalah serius," katanya.

Apa-apa yang diluahkan oleh ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh imuniti dan tiada tindakan yang boleh dikenakan, termasuk didakwa di mahkamah kecuali dihadapkan ke jawatankuasa khas itu.

"Di Dewan Rakyat, mereka ada imuniti, tetapi masih ada peraturan dan ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Sebab itu ada jawatankuasa khas, ia badan yang paling sesuai untuk menentukan perkara seumpama itu," terang Nazri.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.
Semasa ucapan lebih tiga jamnya ketika hujah penggulungan terima kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, semalam, Anwar mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Bagaimanapun, Apco dalam satu kenyataan hari ini menafikan pembabitan pihaknya dengan konsep "One Israel' itu.


-Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan