Pengikut

Rabu, 17 Februari 2010

Umno-BN tak layak pertikai krisis PKR

Krisis politik Pakatan Rakyat (PR) khususnya yang membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan ukuran mengatakan parti itu kini menuju kehancuran manakala ikatan itu pula berada di ambang kemusnahan, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail.

Sehubungan itu beliau berkata, Umno-BN tidak layak untuk menilai kekuatan serta keutuhan PR, sebaliknya lebih baik memberi tumpuan untuk mentarbiyah integriti pihak masing-masing.

“Umno-BN sebenarnya lebih afdal kalau menjaga tepian kain mereka dahulu sebelum menjaga tepi kain orang.

“Sebab krisis yang berlaku dalam PKR adalah lebih kecil dibandingkan dengan krisis yang berlaku di dalam Umno-BN,” katanya.

Mengikut perkiraan nisbah antara PKR dan Umno-BN, Saifuddin memberitahu konflik dalaman BN adalah lebih parah tetapi ditutup rapat media dikuasai BN.

Kata beliau sekiranya kebebasan media dilaksanakan secara adil nescaya semua rakyat akan melihat ‘barah’ peringkat kritikal terdapat dalam Umno-BN akibat kemelut sekian lama.

“Malangnya kebebasan itu dinafikan haknya oleh Umno-BN, maka dengan mudahnya ia pergunakan media untuk menyerang pihak lawan demi kepentingan politiknya.

“Lihat saja persengketaan yang berlaku dalam parti komponen BN seperti MCA sampai ke hari ini masih belum temui jalan penyelesaiannya walaupun perdana menteri sendiri campur tangan cuba hendak selesaikan kemelut yang timbul itu.

“Begitu juga dengan MIC dan Parti Progresif Penduduk.

“Mana ada media besar-besarkan cerita ini? Tak ada… tapi krisis kecil yang berlaku dalam Pakatan, tiap-tiap hari diserang mereka. Dengan itu tidak nampak sangatlah pergolakan mereka,” kata beliau di sini.

Sambil menyifatkan ‘krisis’ yang berlaku sebagai “asam garam kehidupan”, Saifuddin berkata sekiranya dua tiga kerat keluar parti bukan justifikasi untuk membuat andaian PKR umpama retak menunggu belah.

“Itu tidak konkrit,” kata Saifuddin membidas pimpinan Umno-BN yang cuba mencuri kesempatan untuk membesar-besarkan spekulasi buruk terhadap parti itu.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim mengumumkan keluar PKR — wakil rakyat peringkat persekutuan yang pertama berbuat demikian.

Sebelum ini empat Ahli Dewan Undangan Negeri juga keluar PKR dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Zahrain bertindak keluar berkuat kuasa serta-merta atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beberapa wakil rakyat lagi disebut-sebut akan keluar PKR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan