Kumpulan pro-Mahasiswa (Pro-M) mengambil keputusan untuk memulaukan 'kabinet' baru Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) yang dibentuk oleh kumpulan pro-Aspirasi (pro-A).
17 calon pro-M yang menang pada pilihan raya kampus yang lalu juga tidak hadir pada majlis perlantikan yang diadakan di Dewan Tunku Canselor kelmarin.
Bantahan itu bertujuan menyatakan pendirian mereka bahawa pilihan raya kampus pada 28 Jan lalu tidak dijalankan secara telus dan adil. Ia juga sebagai tanda protes berhubung keengganan pihak pro-A untuk menghormati kemenangan pro-M pada peringkat kerusi umum.
Mohd Fadzil Jamal, wakil mahasiswa pro-M untuk kerusi umum, memberitahu Malaysiakini bahawa semua wakil dari kumpulan mereka tidak akan mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang bakal dianjurkan oleh MPMUM.
“Kita, wakil pro-M yang menang, tidak akan mengiktiraf kabinet baru yang dilantik. Ini bermakna kita akan boikot,” katanya.
“Tetapi, kita akan terus berjuang untuk isu mahasiwa,” tambahnya.
Dia juga berkata, 17 wakil pro-M akan membentuk satu kabinet bayangan untuk bersaing dengan pro-A.
Kabinet bayangan ini akan dinamakan sebagai “Majlis Perwakilan Pro Mahasiswa UM”(MPPMUM) dan Fadzil telah dipilih sebagai presidennya.
Fadzil juga menjelaskan antara sebab utama untuk pemulauan itu ialah kerana pro-M telah dinafikan hak untuk mengambil tempat dalam majlis tertinggi MPMUM walaupun mereka menang lapan daripada sembilan kerusi umum.
“Kita anggap apa yang berlaku adalah tidak adil. Kita telah menang 8 daripada 9 kerusi umum, tetapi hanya dilantik sebagai ahli jawantankuasa untuk biro-biro,” katanya.
“Kita nampak ini macam satu penghinaan terhadap undi mahasiswa.”
Bagi MPMUM, wakil mahasiswa dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu sembilan kerusi umum dan 32 kerusi fakulti. Kerusi umum akan dipilih oleh semua mahasiswa dalam kampus, manakala kerusi fakulti hanya dihadkan kepada satu fakulti sahaja.
Pada pilihan raya kampus pada 28 jan lalu menyaksikan pro-A yang mengakui sebagai penggerak mahasiwa berjaya merampas balik UM dengan memenangi 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi pro-M, walaupun pro-M menang lapan daripada sembilan kerusi umum.
Kumpulan pro-M berasa yang tidak berpuas hati terhadap keputusan itu dan mendakwa sistem e-undi yang pertama kali digunakan membuka ruang untuk penyelewengan.
Pada kemuncak bantahan itu, keesokan harinya, ratusan penyokong pro-M mengepung bangunan canselori dan menuntut naib canselor, Datuk Ghauth Jasmon supaya membatalkan keputusan pilihan raya dan mengadakan pemilihan baru.
Walaubagaimanapun, pihak universiti menolak rayuan pro-M dan menafikan sistem baru ini mempunyai kelemahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan