Pengikut

Ahad, 1 November 2009

Nik Aziz Bercakap Dari Pengalaman.

Pas bukanlah sebuah parti baru. Umurnya setara umur UMNO. Sepanjang perjalanan kisah parti itu bermacam-macam liku dilaluinya. Akhirnya, segenting mana krisis dihadapi, parti itu tetap kekal kuat.

Gesaan agar orang besar dalam organisasi itu dikenakan tindakan kerana tetap berusaha mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) perlu diberi perhatian.

Siapa yang lebih besar daripada Datuk Mohd Asri Muda dalam Pas ketika beliau berundur dari parti itu untuk menyertai Hamim? Asri ketika itu adalah Presiden. Pas langsung tidak bergolak dan sejarah politik Asri menjunam selepas itu sehinggakan dia akhirnya menyertai UMNO sebagai anggota biasa saja.

Begitulah juga terjadi kepada UMNO. Seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun yang bertindak berhenti daripada menjadi anggota UMNO kerana tidak berpuas hati dengan penggantinya, tidak langsung meninggalkan sebarang kesan. Tidak sampai 100 orang pengikut setianya yang turut sama meninggalkan parti. Orang itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Akhirnya, beliau mengaku kalah dan kembali menyertai UMNO.

Seruan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar beberapa orang tertentu di dalam Pas dikenakan tindakan hendaklah disahut dengan berani oleh anggota dan pimpinan parti itu dalam usaha membersih parti dari sebarang anasir yang dari semasa ke semasa memberikan imej yang buruk kepada parti dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat (PR). Cakap Nik Abdul Aziz berdasarkan pengalaman.

Sesungguhnya terdapat bebarapa tokoh dari tingkah laku dan perkataan mereka menyebabkan suasana keruh wujud sesama anggota PR. Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya, acapkali mengeluarkan kenyataan menyentuh hati bukan Islam sedangkan isu yang dibangkitkannya itu bukanlah isu tuntutan utama sebahagian besar umat Islam di Malaysia.

Begitu juga dengan ungkapan yang pernah disebut oleh Ahli Parlimen Jelutong dari DAP yang mengguris perasaan pengikut Jemaah Islamiah (JI). Beliau menganggap pertubuhan itu sebagai pengganas sedang ia adalah satu NGO yang sah. Anggota Pas dan JI bertindak memungut tandatangan membantah kata-kata Ahli Parlimen itu.

Semua tindakan ini dari semasa ke semasa menggoncang perpaduan PR. Pihak akhbar dan media massa yang hampir kesemuanya dikuasai oleh parti komponen BN pastinya mengambil kesempatan dari peristiwa-peristiwa ini untuk menggambarkan suasana kecar kacir wujud dalam hubungan sesama anggota PR.


Sentiasa waspada

Ini dilakukan sebagai satu usaha menutup persengkitaan yang tidak kurang hebatnya berlaku dalam kalangan anggota BN. Persengketaan dalam MCA contohnya tentulah jauh lebih besar berbanding dengan persengketaan berlaku dalam PKR tetapi dengan sentiasa memperbesarkan apa yang terjadi dalam PKR, persengketaan dalam MCA digambarkan sebagai `ribut dalam cawan kopi` sahaja atau dilupa orang.

Menyedari bahawa sebarang kata-kata negatif yang terpacul dari mulut pemimpin Pakatan akan segera dieksploit oleh media massa, pemimpin Pas pada semua peringkat hendaklah sentiasa berwaspada dengan pergerakan bibir mereka.

Sesorang yang seringkali kata-katanya dilihat sebagai memporak perandakan perpaduan PR ialah Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor.

Seawal 8 Mac, tatkala negara terkejut dengan keputusan dibuat rakyat, di mana tambahan empat buat negeri telah jatuh ke tangan pembangkang, Dr Hasan adalah orang yang dicari UMNO untuk menyelamatkan Kerajaan Negeri daripada jatuh ke tangan pembangkang.

Dr Hasan segera dihubungi untuk membentuk satu pakatan Kerajaan Negeri di antara BN dan Pas di Selangor. Jasanya juga diminta menghubungi Ahmad Awang, Pesuruhjaya Pas Perak dalam usaha yang sama membentuk Kerajaan Perpaduan di Perak.

Tindakan Dr Hasan melayan permintaan dari kalangan Barisan Nasional (BN) itu mengejutkan pemimpin Pas dan anggotanya. Pertemuan dengan kepimpinan UMNO itu dilakukan di luar pengetahuan Nik Abdul Aziz sungguhpun beberapa pemimpin tinggi lain dimaklumkan dan turut serta dalam rundingan.

Pastinya, ini menimbulkan kemarahan Nik Abdul Aziz seorang yang amat berpengalaman dalam hubungan UMNO - Pas. Beliau terlibat dalam pembentukan kerajaan campuran Pas-Perikatan di Kelantan pada tahun 1968 yang kemudiannya berkembang membentuk kerajaan BN di Kelantan di mana Pas adalah anggotanya.

Sewaktu berada dalam BN, UMNO sentiasa bertindak melemahkan Pas sehinggalah dalam piliha raya selanjutnya pada tahun 1974, 1978, 1982 dan 1986 Pas kalah teruk di sana.

Beliau ingat bagaimana anggota Pas, Muhamed Nasir dilayan sebegitu rupa agar timbul pecahbelah dalam Pas. Mengikut catatan Datuk Asri Muda, Mohamed Nasir berupa Menteri Besar (MB) UMNO dari Pas kerana MB itu lebih mendengar arahan UMNO berbanding Pas.

Pastinya, Nik Aziz tidak mahu Dr Hasan menjadi Mohamed Nasir kedua yang lebih mengutamakan UMNO berbanding Pas.

Akhir-akhir ini tindak tanduk Dr Hasan dilihat sebagai menyebabkan ramai bukan Islam bertindak tidak menyokong Pas lagi.


Cetus keraguan

Nik Abdul Aziz mungkin tertanya-tanya. Apakah Hasan ini seorang ejen yang ditanam oleh UMNO untuk menyusup dalam Pas? Sejarah pengelibatan Dr Hasan dalam Biro Tatanegara (BTN) mungkin menguatkan sangkaan itu. Kalau Nik Abdul Aziz menyangka begitu, mungkin sangkaan beliau keterlaluan.

Sokongan atau tiada apa-apa bantahan kepada tindakan Hasan ini menyebabkan timbulnya keraguan kepada Nik Abdul Aziz tentang pendirian yang dipegang oleh pemimpin utama Pas peringkat pusat seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, Timbalannya dan Setiausaha Agung parti.

Secara kebetulan, ramai dari mereka yang dilihat tidak berpihak kepada Abdul Nik Aziz adalah para pemimpin ynag datang dari Terengganu. Hadi, Datuk Mustafa Ali dan Harun Taib di antaranya.

Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib seolah-olah seperti memperlekehkan Nik Abdul Aziz apabila beliau mengeluarkan kenyataan dia tidak percaya tulisan yang dibuat Nik Abdul ziz itu adalah luahan hatinya sendiri. Harun yakin ada orang lain yang menulisnya. Dengan itu bayangan yang diberikan Harun ialah Nik Abdul Aziz membenarkan dirinya diperkudakan golongan yang mempunyai alasan tersendiri.

Harun berusaha meyembunyikan kekecewaan yang dibangkitkan Nik Abdul Aziz ini dengan dalih orang lain menulis blog itu. Sungguhpun Harun mendakwa dia kenal cara Nik Abdul Aziz menulis, bolehkah Harun menafikan Menteri Besar Kelantan tidak bermaksud begitu?


'Orang upahan'

Lagipun, tidakkah Harun tahu bahawa banyak pembesar dan pemblog dari kalangan orang politik tidak mengendalikan blog sendiri? Ada orang upahan. Pokonya, apa yang ditulis itu adalah sebiji dengan apa yang terkandung dalam kalbunya! Tanya Datuk Seri Najib Tun Razak, tanya Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, adakah dia sendiri yang menulisnya atau ada orang lain? Adakah mereka memiliki ‘luxury’ masa mengendalikan blog di samping tuntutan harian tugas mereka?

Bandingkan tugas harian Nik Abdul Aziz yang terpaksa pergi ke pejabat seharian dan pulang ke rumah tetamu tidak diundang sedia menunggu kerana rumahnya tidak berpagar dan berkunci. Malam dia mengajar agama dan subuh-subuh lagi sambung mengajar.

Mampukah beliau mengendalikan blognya sendiri? Pokoknya, tiada sepatah pun yang tertulis itu bertententangan dengan jiwanya dan dia mengambil tanggungjawab dengan apa yang tertulis. Dan dia mengulangi lagi kata-kata itu di depan kaca TV. Masih ragu?

Ramai berpendapat kepimpinan yang datangnya dari Terengganu itu bukanlah mereka yang berpengaruh. Ada yang mengatakan membanding mereka dengan Nik Abdul Aziz adalah satu perbuatan kejam. Sipi-sipi Nik Abdul Aziz pun tidak!

Hadi tenggelam timbul di Parlimen, kalah menang bergilir ganti. Pengaruhnya tidak bertapak kuat. Mustafa pun sama. Nasharuddin, apabila diletakkan bertanding di Besut, Terengganu dia kalah. Hanya dengan ihsan Nik Abdul Aziz yang meletakkan beliau bertanding di Bachok, Kelantan baru menang.

Pas hendaklah pandai menggunakan kepercayaan bukan Islam kepadanya. Bukan Islam hanya mahu Pas menjadi tidak seburuk UMNO.

Itu sudah cukup. Ia tidak mahu lebih dari itu. Pas hendaklah tahu bahawa bukan Islam menyokong Pas bukanlah kerana Islam yang ada ingin dibawa Pas tetapi mereka membenci UMNO semata-mata.

Pas juga mesti sedar bahawa ia bukanlah menang besar kerusi Parlimen dalam PRU 2008 itu. Ia sekadar menang 23 kerusi dan 9 darinya dari Kelantan. Terengganu hanya menyumbang satu kerusi, iaitu Marang.

Tambahan satu kerusi yang dimenangi Pas baru-baru ini di Terengganu datangnya selepas imej Pas bertambah baik sejurus PRK. Sekarang imej Pas muram kembali.

Pas hendaklah sedar bahawa ia menjadi lebih popular hanya selepas 8 Mac 2008 apabila dasar ‘Pas for All’ dan imej ‘Keadilan Islam’ itu diberikan beberapa tokoh Pas seperti Khalid Samad, Nizar bekas MB Perak, Dr Lo’Lo’, Dr Hatta, Husam Musa. Dr Dzulkifli, Dr Mariah dan lain-lain.

Kehadiran tokoh inilah yang menyebabkan kian ramai orang bukan Islam menyokong Pas.

Pas tidak boleh memutar jarum kembali kepada zaman ‘BTN’ yang ingin dibawa oleh Dr Hasan atau zaman ‘taliban’ yang dibawa oleh kalangan yang hanya tahu memprotes konsert itu dan ini sehinggakan timbul cemuhan bahawa Beyonce membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana `baju kurungnya belum sempat siap`.

Berdepanlah dengan dunia nyata. Nik Abdul Aziz hanya mahu Pas mengotakan janjinya, Islam untuk semua dan Islam itu adil dan bukannya Islam itu untuk Melayu saja. Usah jadi orang munafik, bila berjanji, berbohong.

Terpulanglah kepada Pas, mahu kekal berada di bawah telunjuk kepimpinan yang lemah yang dibawa Hadi dan fraksi bersimpati dengan UMNO atau terus maju mengambil kesempatan dari keyakinan ramai yang diberikan bermula 8 Mac itu.

Masih belum terlambat. Iklan TV popular terkini seru, "potong, potong, potong!"

- DR AISAR YEE ABDULLAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan