TOK GURU Nik Abdul Aziz Nik Mat diberitakan akan menunaikan fardu Haji pada pertengahan November depan. Kalau tidak silap inilah Haji, Nik Aziz yang ketiga dalam tempoh beliau menjadi Menteri Besar. Tahun 2007 adalah Haji paling akhir dilakukan. Dalam tempoh itu hingga kini beliau sering mengerjakan umrah, hampir setiap tahun.
Sepninggalannya mengerjakan haji dua tahun lepas tugasnya selaku MB diserahkan kepada timbalannya, Ahmad Yaacob. Ahmad diberikan kuasa untuk menjalankan tugas-tugas sebagai menteri besar dan menjalankan urusan pentadbiran.
Dalam perlembagaan tubuh negeri Kelantan tidak ada peruntukan jawatan pemangku MB Kelantan. Perlembagaan memperuntukkan selama MB tidak berada dalam negeri ia boleh menyerahkan tugasnya kepada sesiapa di kalangan Exco yang dipercayai.
Semasa Abdul Halim Abdul Rahman menjadi TMB selama lebih 10 tahun dulu, beliau pernah diberikan tugas dan tanggungjawab menjalakna tugas-tugas menteri besar. Dalam sepanjang tempoh itu Abdul Halim hanya sempat merasai sekali saja sebagai 'pemangku' MB.
Walaupun dua atau tiga tahun lepas tugas-tugas MB dilepaskan kepada Ahmad Yaacob semasa Nik Aziz di Makkah malangnya, Ahmad tidak dapat menyempurnakan tugas dan tanggungjawab berkenaan. Tidak semena-mena TMB itu diserang sakit dan terpaksa berihat di hospital. Jadi Ahmad Yaaob tidak sempat menunjukkan kebolehan dan kemampuannya sebagai bakal MB.
Ekoran itu, Husam Musa telah secara tidak langsung dianggap menjadi pengganti kepada Ahmad Yaacob. Bagaimana pun kerana tidak ada penurunan kuasa dan tanggungjawab kepada Husam secara mutlak menyebabkan Exco itu hanya jadi pengganti sahaja tanpa dapat membuat apa-apa keputusan atau memainkan peranan sebagai MB.
Jadi ketika itu orang Pas dan rakyat Kelantan tidak dapat melihat sejauh mana kemampuan Husam. Tempoh itu tidak menjadi satu percubaan untuk melihat kemampaun beliau sebagai bakal MB.
Kini ada makluman dalaman mengatakan Nik Aziz akan menyerahkan tugasnya sebagai MB kepada Husam Musa selama dia berada di Makkah pada pertengahan bulan depan. Selama itu nanti Husam akan bertindak menjadi MB. Surat kuasa atau penyerahan tugas ‘memangku’ MB akan diserakan tidak lama lagi.
Kepercayaan Nik Aziz kepada Husam yang meminta Husam membentangkan bajet tahun depan di sidang DUN yang sedang berlangsung kini dikatakan sebagai isyarat jelas atas perubahan drastik mengenai keyakinan Nik Aziz kepada bekas Setiausaha Politiknya itu.
Mudah-mudahan sahaja dengan peluang keemasan yang bakal diberikan Nik Aziz ini, Husam dapat membuktikan kemampuannya sebagai bakal pengganti Nik Aziz. Hendaknya Husam tidak akan mengecewakan rakyat. Buktikanlah yang anda mampu memikul tanggungjawab yang anda cita-citakan itu.
Semua pihak diminta memberi kerjasama kepada Husam. Rakyat Kelantan terutama mereka yang kurang senang dengan Husam hendaknya bersikap tawakuf dan menerima takdir ini dengan hati terbuka. Kepada Husam pula ambilah peluang ini untuk memperbetulkan apa-apa yang cacat mengenai diri anda. Perkara paling penting ialah cuba menyatukan semula keretakan yang berlaku dalam Pas.
Insya-Allah kalau selama ketiadaan Tok Guru itu beliau berjaya menunjukkan peribadi sebagai pemimpin rakyat dan berjaya menyatukan parti, mungkin menjelang Januari depan Husam bakal dinobatkan sebagai MB sebagai mewarisi kepimpinan Tok Guru di Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan