Pengikut

Isnin, 21 Mei 2012

Bersih dulu pilihan raya, baru muzakarah

Umno perlu tunjukkan komitmen dan keikhlasan dalam merealisasikan pilihan raya yang bersih dan adil sebelum bermuzakarah dengan PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, muzakarah tiada makna jika pilihan raya di Malaysia kotor dan belum dipulihkan.

“Muzakarah tiada makna jika pilihan raya tidak bersih,” katanya dipetik Harakah Daily.


Menurut Hadi, isu muzakarah ini hanya dimainkan untuk menutup isu kebangkitan dan suara rakyat dalam Himpunan Bersih 3.0.

Beliau menjelaskan, Umno perlu tumpu pada agenda asal iaitu merealisasikan lapan tuntutan bersih yang penting untuk masa depan negara.

“Mereka cuba tutup isu tuntutan pilihan raya bersih kerana mereka tahu ia akan mengancam kedudukannya untuk terus berkuasa,” kata Hadi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mencadangkan muzakarah bersama Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, Umno perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh PAS sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.

“Kalau Umno nak bersatu (dengan PAS), tukar dasar kebangsaan dia, bubuh (letak) Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi perlu buat secara rasmi bahawa Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

“Umno kena terima PAS sekali dengan Pakatan (Pembangkang). Bila Umno dah ubah dasarnya, mereka kena bersama dengan Pakatan,” katanya dipetik.

Nik Aziz berkata, muzakarah diminta oleh agama Islam dan sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas.

Rabu lalu, Nik Aziz menyatakan persetujuannya agar PAS membuka pintu untuk bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno.- KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan