Pengikut

Selasa, 24 April 2012

Jamil Khir fail notis ketepi permohonan semakan Anwar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi hari ini memfailkan permohonan bagi mengetepikan permohonan semakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan dalam prosiding rayuan pertuduhan qazaf melibatkan bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Jamil Khir, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali, memfailkan permohonan itu melalui peguam Roslizam Rahim dan Abdul Halim Bahari dari Tetuan Nailah Ramli & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga mereka selaku pemohon menamakan Anwar sebagai responden dalam permohonan itu.

Mereka memfailkan permohonan bagi mengetepikan permohonan semakan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Syariah, yang menolak permohonan peguam yang mewakili Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman supaya Jamil Khir dan dua lagi memfailkan permohonan kebenaran bagi mengetepikan notis rayuan yang difailkan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pertuduhan qazaf oleh Anwar.

Pada 30 Januari lepas, panel tiga anggota mahkamah itu iaitu Hakim Datuk Zohdi Toha, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Hasan menolak permohonan Kamar Ainiah dengan alasan mereka (Jamil Khir, Shamsuddin dan Che Mat) tidak perlu membuat permohonan berkenaan kerana ia tidak relevan dan sia-sia.

Jamil Khir, Shamsuddin dan Che Mat dalam permohonan mereka berkata permohonan semakan Anwar itu bertentangan dengan hukum syarak dan tiada sebarang peruntukan undang-undang mahkamah untuk menyemak semula keputusan seperti yang difailkan oleh ketua pembangkang itu.

Mereka turut mendakwa permohonan semakan itu telah menghakis kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi dengan kuasa-kuasa khusus sebagaimana termaktub di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993.

Selain itu, mereka mendakwa bahawa tiada mahkamah yang layak mendengar dan memutuskan permohonan semakan itu sehinggalah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 dipinda dengan mewujudkan satu lapisan mahkamah baru yang lebih tinggi daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Anwar, Dorina Abdullah ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan memfailkan afidavit jawapan berhubung kes itu pada 24 Mei ini.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan